Azman dalam perjalanan ke Air Keroh, Melaka. Dia yang bertugas sebagai jurujual memandu van syarikat dia bekerja untuk menghantar barangan yang dipesan oleh pelangan di kawasan Negeri Sembilan dan Melaka. Azman memandu agak perlahan dan dengan tenang sekali. Tiada apa yang nak dikejarkan kerana order yang diterima bukanlah "urgent".

Singgah rumahlah kejap, bisik hati Azman. Kebetulan pula perjalanan ke Melaka betul-betul melalui hadapan rumahnya yang berhampiran dengan jalan besar di kampung Cherana Puteh sebelum dia menaiki lebuhraya ke Air keroh di tol Alor gajah.

Azman memang selalu bersyukur kerana hajatnya untuk mencari rezeki yang dapat melapangkan kehidupan keluarganya di saat yang sama dia masih dapat tinggal di kawasan kampung dimakbulkan Tuhan. Memang itu hajat hatinya sejak dulu. Dia tidak betah tinggal di bandar besar. Kampung menjanjikan udara yang nyaman dan bersih serta kehidupan bermasyarakat yang lebih kemelayuan bagi Azman.

Ha dah sampai pun, terluncur di bibirnya bila saja dia nampak simpang jalan berturap tar memasuki kawasan rumahnya.

Anak-anaknya berlari ke luar rumah sebaik sahaja mendengar bunyi van yang dipandu Azman memasuki laman rumah yang berumput hijau dan di penuhi bunga-bunga kertas dan berbagai jenis bunga lagi. Sebenarnya itu semua Azman yang tanam. Dia memang berminat dengan pokok bunga sejak kecil lagi. Dia pun bekas pelajar vokasional pertanian cuma nasib tidak menyebelahinya untuk bekerja di tempat yang ada kaitan dengan pertanian.

Jom masuk, ni beri ibu, suruh Azman kepada anak sulungnya Amirah yang baru berumur lima tahun. Anak-anaknya rapat-rapat. Yang sulung perempuan baru lima tahun, yang kedua juga perempuan berusia empat tahun dan yang ketiga merangkap yang bungsu anak lelaki berusia tiga tahun.

Abang kejap je ni Jah, beritahu Azman pada isterinya Lijah sambil mengomol-gomol perut anak bungsunya. Terkekek-kekek si Otet ketawa menahan geli bila digomol ayahnya. Otet yang nama betulnya Muhammad Abdul Malik memang sedang sedap dibuat main. Badannya yang berisi memang buat Azman geram bila melihatnya dan selalu anak bungsunya itu menanggis bila digigit di lengannya oleh Azman yang suka menggigit lengan anak-anaknya bagi melepaskan geram.

Amirah masih memeloknya dari belakang manakala Syahirah dan Malik berkongsi pangku sambil tumpang sama minum teh yang disediakan untuk Azman oleh isterinya. Abang nak jalan dah ni, ujar Azman sambil cuba menghabiskan teh yang disediakan Lijah. La dah habis, sapa habiskan air ayah ni, tanya Azman pada anak-anaknya. Anak-anaknya ketawa dan saling tuduh menuduh antara satu sama lain. Begitulah setiap kali dia minum teh, anak-anaknya berkerumun minta nak rasa seteguk dua. Risau juga dia takut-takut anak-anaknya nanti ketagihan teh seperti dirinya pula.

Okey petang jumpa lagi,dah gi masuk ayah nak jalan dah ni. Azman memerhatikan ketiga-tiga anaknya masuk ke rumah. Azman memang berhati-hati setiap kali hendak mengundurkan kenderaan. Sudah banyak kali dia dengar berlaku kes terlanggar anak sendiri di waktu ibubapa mereka hendak mengundurkan kenderaan.

Disebabkan itu Azman membiasakan dirinya mengundurkan kenderaan perlahan-lahan, tidak terburu-buru di mana sahaja dia mengundurkan kenderaan. Sebelum ini dia hampir terlanggar seorang lelaki cina tua yang mengayuh basikal dari arah kiri di seberang jalan melintasi belakang vannya yang sedang berundur. Mungkin berkat tabiatnya yang suka mengundurkan kenderaan secara perlahan-lahan dan juga dengan rahmat Tuhan, semua nya selamat. Jika tidak rasanya tentu hari itu menjadi hari yang malang bagi dia dan lelaki tua cina itu akibat kecuaiannya sendiri.

Kakak adik ada dekat kakak kan, jerit Azman dari dalam van. Anak sulungnya melambai-lambaikan tangan dari cermin nakur tingkap rumahnya. Syirah tidak kelihatan. Otetnya juga tidak kelihatan kerana masih belum cukup tinggi untuk memandang keluar dari cemin tingkap. Rumah Azman rumah bawah dengan tembok batu lebih kurang tiga batu blok. Dindingnya pula dari papan. Rumah yang dibelinya sekali dengan tanah dan pokok durian seluas dua ekar.

Azman turun semula dari van, dia tak puas hati selagi tak tahu di mana anak bungsunya itu. Kakak, adik ada kat mana ?, tanya Azman sambil berdiri di hadapan tingkap rumahnya. Ada ni balas Amirah sambil menunjuk ke arah Malik yang sedang duduk leka bermain kereta mainan yang telah pun tertanggal tayarnya. Lijah rupanya di bilik air mencebukkan Syirah yang kebetulan sakit perut sebaik sahaja Azman melangkah keluar tadi.

Jaga adik jangan bagi dia keluar tahu dan kunci sekali pintu, Azman memberi arahan kepada Amirah sebelum melangkah ke arah vannya semula. Sambil melangkah terpandang pula oleh Azman kain hidaian isterinya di ampaian ada sehelai dua yang jatuh ke rumput. Azman terus melangkah ke arah kanan van menuju ke ampaian kain untuk menyidai pakaian yang jatuh ditiup angin tadi. Sepit baju pun malas, sempat Azman merunggut bila dilihatnya masih ada sehelai dua pakaian yang bersidai tidak disepit dengan penyepit baju oleh isterinya.

Azman masuk semula ke dalam van yang telah pun dari tadi dihidupkan injinnya. Sambil membetulkan kedudukannya, Azman melihat ke arah tingkap namun tak seorang pun anaknya berada di situ. Sah tengah berkerumun di bilik air, bisik Azman sambil senyum sendirian. Anak-anaknya memang suka main air. Bilik airnya yang memiliki kolah air tadahan air sudah berapa kali di buang begitu saja airnya disebabkan Amirah dan Syahirah dengan diam-diam berendam dan bermain di dalam kolah.

Azman memandang ke belakang dari cermin depan vannya. Azman mula menekan-nekan minyak sebelum memasukkan "gear" untuk mengundurkan vannya. Payah betul nak masuk gear undur ni, bisik Azman sendirian setelah dicuba kali kedua masih belum juga boleh dimasukkan "gear" undur. Dalam pada itu sempat juga dia memandang ke cermin tingkap rumah untuk melihat kalau-kalau anak-anak atau isterinya melambai tangan atau berkerumun di pintu untuk melihatnya pergi menyambung tugas seperti yang selalu mereka lakukan.

Namun seorang pun tidak kelihatan di tingkap nakur maupun di pintu yang masih bertutup rapat. Pintu memang telah di kunci oleh Amirah sebaik sahaja Azman keluar tadi. Sengaja dibuatnya selak kunci pintu rendah sedikit agar mudah untuk Amirah mengunci pintu dari dalam.

Azman memandang ke arah cermin sisi kanan dan bersedia untuk berundur. Budak-budak ni mandi lah tu, sorang ke bilik air habis semua ikut mandi sama, bisik hati Azman sambil tersenyum terkenangkan perangai dan keletah anak-anaknya.

Ayah ! ayah ! Azman terdengar suara sayup-sayup suara anak sulungnya di tingkap di dalam kebisingan bunyi enjin vannya itu. Azman yang baru sahaja mula mengundurkan sedikit vannya terus menekan brek. Dia mengeluarkan kepala dari tingkap van. Ada apa kak ! laung Azman dari dalam van bertanya kepada Amirah.

Dia dapat melihat Amirah seperti berkata sesuatu tapi tidak jelas apa butir yang dikatakanya. Sebetulnya terasa malas juga di hatinya ketika itu untuk turun semula dari vannya. Tapi terpikir pula oleh Azman mungkin Amirah ingin menyampaikan pesan ibunya yang ingin mengirim sesuatu terlanjur Azman sudah ke Air Keroh. Hendak tidak, akhirnya Azman pun menarik brek tangan dan turun semula dari van. Kenapa kak, ibu kirim beli barang ke?, tanya Azman sambil melangkah ke arah Amirah yang berdiri di cermin nakur tingkap rumahnya itu.

Amirah menunjuk-nunjuk ke arahnya pula. Azman memandang ke belakang namun tiada apa yang pelik dilihatnya. Buka pintu kak suruh Azman sebaik sahaja menghampiri cermin tingkap rumahnya di mana Amirah berdiri dari dalam. Eh tak berkunci, tegur Azman sebaik sahaja pintu terbuka di saat dia menyentuh daun pintu sebelum sempat Amirah membuka selaknya dari dalam. Akak tak kunci ke tadi, Azman sedikit meninggikan suara pada Amirah. Kelihatan isterinya dari arah dapur berlari keluar. Kenapa bang, tanya Lijah. Adik tak da kat sini, akak tak tau dia kat mana, beritahu Amirah yang kelihatan sedikit ketakutan itu. Eh ada kat sini tadi kan, Lijah yang baru sampai dari dapur dan masih tercenggang-cenggang tidak tahu hujung pangkal cerita mencelah. Tiba-tiba dada Azman terasa berderau dan dia pantas berlari ke arah belakang vannya.

Allahuakbar ! separuh menjerit, namun dia segera bertenang semula dan berlutut sambil memegang tangan Abdul Malik yang sedang mencuit-cuit nombor pendaftaran van yang berabuk itu. Jelas kelihatan di mata Azman kesan jari-jari kecil Otet di plet nombor pendaftaran itu. Abdul Malik cuma ketawa dan meronta minta dilepaskan agar dia dapat bermain semula dengan nombor plet tersebut. Degup jantung Azman begitu kuat sekali. Berdebar-debar hatinya sewaktu mula melihat Otet sedang berdiri sambil mengusik-usik plet vannya tadi . Dia sendiri tak pasti apa yang dia rasakan di saat itu, rasa sayu pun ada bila melihat Otet dan di saat yang sama dia begitu bersyukur. Berulangkali terluncur ucapan Alhamdulillah di bibir Azman. Lijah yang berdiri di sisinya menegur Azman yang masih belum berkata apa sejak tadi,bawalah Otet masuk dulu bang. Azman memandang Amirah yang kelihatan ketakutan berdiri di sebelahnya. Dah kak, ayah tak marah kakak, pujuk Azman kepada Amirah yang kelihatan dalam ketakutan. Kesihan dia melihat Amirah yang ketakutan itu. Apa nak dimarahkan, lagi pun semuanya selamat. Amirah pula baru berumur lima tahun, fikir Azman dalam debaran yang masih belum hilang itu lagi.

Sebelum pergi menyambung tugasnya semula , Azmah berpesan kepada Lijah, nanti ingatkan abang tukar selak pintu ni, Otet dah pandai buka, kena tinggi kan lagi sikit. Azman memeluk Otet dan mencium pipinya, dah pandai lah anak ayah, dah boleh buka pintu sendiri ek..

Sepanjang perjalanan ke Air keroh hati Azman tidak menentu, tak tahu apa nak kata, hanya kesyukuran dipanjatkannya dengan keselamatan yang telah Tuhan berikan padanya dan keluarganya.

Azman teringat pesan ibunya, amalkan baca doa selamat selalu man. Kita manusia selalu cuai, hanya Tuhan je yang selamatkan kita. Azman benar-benar terharu dengan perlindungan keselamatan yang baru sahaja di terima dari Tuhannya. Jika tidak tentu dia dan isterinya sedang berduka cita dan berada dalam kesedihan yang amat sangat di saat ini. Tentunya ianya menjadi tragedi yang akan merantai dirinya seumur hidup..

Syukur Ya Allah.

2 comments

  1. umihoney // January 21, 2010 at 12:38 AM  

    nice story..peringatan buat kita semua..good write

  2. RB // January 21, 2010 at 12:55 AM  

    Thanks my dear friend UmiHoney.

Labels