Aku berjalan di atas bumi Mu dengan kasih sayang Engkau Ya Tuhan ku. Aku berjalan di atas bumi Mu dengan kasih sayang Mu dan kasih orang yang telah kau limpahkan rasa kasih sayang di hati mereka.

Tentunya limpahan kasih ibu dan bapaku dalam membesarkan aku adalah anugerah dan rahmat Mu yang tidak dapat ku nilaikan dengan kata-kata. Kasih keduanya itu adalah rahmat dari Mu buat ku.  Aku bersyukur dengan limpah kurnia mu memberi aku perasaan dan akal untuk aku memahami bahawa itu adalah rahmat dari Mu yang mesti aku syukuri.

Selain ibu bapa, adik beradik dan keluarga, limpahan kasih Mu ku perolehi juga dari kawan-kawan ku. Terima kasih Tuhanku dengan limpahan kurnia Mu itu.

Sewaktu aku di sekolah rendah ada guru-guru yang begitu mengambil berat tentang diriku. Ada yang begitu baik dengan ibu bapa ku disebabkan ambil berat mereka terhadap diriku. Malah ada yang kecewa kerana aku tidak seperti yang diharapkan.

Aku masih ingat lagi Cikgu Adnan datang ke rumah untuk bertanya tentang kenapa aku tidak hadir sewaktu majlis keraian diadakan di sekolah. Bukan aku ingin menghampakan harapannya di waktu itu.


Aku tidak hadir cuma disebabkan perasaan takut untuk naik ke pentas.
Aku memang gemuruh bila berhadapan dengan hadirin yang ramai. Mentelah pula pengalaman aku berada di atas pentas memang pernah menghampakan.


Sewaktu aku naik ke astaka darah gemuruhku datang. Berdebar-debar tidak menentu aku di waktu itu apabila melihat di bawah begitu ramai orang di lapangan terbuka berhadapan sekolah Agama Rakyat di tempat tinggalku. Sewaktu aku membaca ayat-ayat suci Al-Quran, aku tidak mendengar suaraku sendiri akbat gemuruh. Ditambah pula aku tidak pernah mengunakan mikrofon. Hancur dan lintang pukang tajwid, semuanya aku langgar. Turun dari astaka, dapat ku lihat wajah hampa yang cuba disuruk oleh bapa ku. Semuanya kerana aku malu dan gemuruh.

Sebetulnya di waktu itu aku cuma anak melayu yang suka bermain-main. Aku tidak mengerti tentang harapan dan impian. Kejayaan ku di waktu itu seperti suatu kebetulan ku rasakan. Walaupun hakikatnya itu adalah tanda limpahan kasih Mu terhadapku.

Aku diterima ke asrama felda, di Ulu Kelang, Kuala Lumpur sewaktu di tingkatan dua.Pengurus asrama waktu itu En Ahmad Faiz juga amat mengambil berat tentang diriku. Bukan aku sahaja, malah kawan-kawan juga. Beliau begitu komited terhadap kejayaan anak-anak melayu. Banyak masa dihabiskan di asrama dari di rumahnya sendiri. Di waktu malam beliau akan ke asrama untuk memastikan sendiri anak bangsanya turun ke bilik belajar. Aku pernah terkejut apabila satu objek berat menghempap ku dari belakang. Bila aku bangun ku lihat En Ahmad Faiz berdiri dengan wajah yang begitu serius. Di balingnya beg sekolah ku yang sarat dengan buku di saat aku sedang terlentok tidur beralaskan lengan di meja belajar.

Yang paling aku ingat dan hampir mustahil untuk aku lupakan, ketika aku menunjukkan rokok yang aku surukkan di bawah almari selepas didesak oleh beliau. Sepantas kilat tangannya menampar muka ku. Mengalir dan menitis darah dari hidung ku ke lantai akibat terkena cermin mataku yang patah. Aku tidak marah mau pun melawannya di saat itu. Aku sedar memang itu satu kesalahan. Aku bukanlah pelajar yang nakal atau samseng. Aku sekadar suka-suka untuk mencuba. Sekali lagi aku anak melayu yang memang suka mencuba itu dan ini tanpa memikirkan akibat perbuatan itu yang mungkin akan merosakkan masa depan sendiri.

Sekali lagi aku bersyukur di saat-saat akhir iaitu lagi dua bulan untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia atau ringkasnya SPM, aku sedar dan aku pun mula belajar bersungguh-sungguh. Syukur dapat juga aku SPM gred dua. Dapatlah aku masuk ke UTM lepas tu.

Sewaktu aku selesai mengambil keputusan SPM, Encik Ahmad Faiz dari dalam kenderaan yang dinaikinya sewaktu melintasi aku yang sedang berdiri di pagar asrama berkata, kata-kata yang aku memang ingat hingga kini. Kalau awak tak main-main dulu, awak sama-sama dengan dia orang tu pergi oversea. Aku cuma mampu senyum. Memang benar, salah ku sendiri, suka bermain-main. Tahun itu seramai lebih dari 70 orang pelajar asrama ke luar negara untuk menyambung pengajian. Apa pun aku bersyukur bilamana sekali lagi kasih Mu Tuhan ku dapat ku rasakan. Aku berjaya juga walaupun tidak sehebat orang lain. Hanya dengan rahmat Mu aku melepasi itu semua.

Aku dilimpahi kasih Mu di dalam setiap sikap mengambil berat orang lain terhadap diri ku, terhadap kejayaan ku, cuma malangnya bagi diriku di waktu itu, aku sendiri yang tidak tahu mengunakan kebaikan dan peluang yang engkau  telah berikan kepada ku.

Di Universiti Teknologi Malaysia di Jalan Gurney, Kuala Lumpur, aku begitu bersemangat dan bersungguh-sungguh belajar agar berjaya pulang dengan ijazah di tangan. Namun sejarah berulang lagi disebabkan oleh sikap ku yang tidak belajar dari kesilapan masa lalu. Aku mula leka dengan motor yang ku beli hasil dari duit biasiswa yang telah diberikan oleh kerajaan. Akhirnya aku gagal dan terpaksa berhenti selepas setahun di UTM.

Aku mula mencari kerja sementara menanti peluang lain untuk menyambung pelajaran ku. Aku berjaya mendapat kerja sebagai kerani di Rashid Hussein Securities di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Gaji campur overtime memang agak lumayan untuk aku yang masih bujang di waktu itu. Di waktu itu barulah mata hatiku dapat melihat akan nasib dan masa depanku jika aku tidak bersungguh-sungguh dalam pelajaran.

Akhirnya aku berjaya diterima ke Institut Teknologi MARA. Dalam kejelikkan sikapku sendiri, perjalanan hidupku masih mudah. Akhirnya aku ke Kuantan, Pahang menyambung usaha yang terbengkalai sebelum ini.

Di ITM aku agak rajin dari sebelumnya. Ketiadaan biasiswa memang memberi kesan dalam memenuhi keperluan harianku. Aku mula berlegar-legar di sekitar bandar Kuantan tanpa insuran jalan dan cukai jalan. Tayar motor ku mula botak. Itulah tayar yang ku guna selama satu semester hingga nampak benang tayar akibat getahnya mula haus.

Hinggalah di satu malam waktu aku pulang dari Triang, Pahang. Sesampai sahaja di suatu kawasan  beberapa kilometer dari lapangan terbang Kuantan, hujan yang turun sejak aku di Temerloh lagi sudah mula beransur bertukar menjadi renyai-renyai. Dalam samar gelap malam aku cuba memotong lori yang agak panjang juga. Sebaik sahaja mula memotong lori tersebut, aku berasa tidak sedap hati lalu aku pun memperlahankan kelajuan motor ku itu. Syukurlah sebaik sahaja aku berada semula di belakang lori, tayar belakang motorku meletup lalu pecah. Motor ku melilau ke kiri dan ke kanan akhirnya terbabas memasuki bahu jalan.

Bukan sahaja dengan rahmat Mu aku hidup tetapi kau juga memberikan aku keselamatan. Keselamatan milik Mu , telah kau berikan di saat aku amat memerlukannya. Rasa tidak sedap hatiku itu rupanya pertolongan dari Mu buat diriku yang tak berdaya ini.

Dalam peluh menolak motor diiringi hujan disejuk malam, aku berdoa lagi memohon ke hadrat Mu, berilah aku pertolongan Mu Ya Allah agar aku dapat pulang ke asrama.

Esok paginya, aku bangun lebih awal dari tokei bengkel motor tempat aku menumpang tidur. Syukurlah ada bengkel motor yang terletak 6 km dari lokasi tayar motor ku pecah itu. Ku selok-selok kocek seluar dan baju, cuma ada enam ringgit sahaja duit di kocek. Akhirnya tayar belakang honda rider 125 ku itu menempa sejarahnya tersendiri bertayarkan tayar motor kap jenis honda C70.

Sewaktu dalam perjalanan pulang, aku senggeh sendiri. Teroleng-oleng belakang motor ku dek tayar yang kecil dan tidak sesuai itu. Sesekali terasa gayat juga bila geleknya melebih-lebih di saat aku mengambil selekoh. Namun dalam gayat ada juga nikmatnya. Geleknya bak ayunan penari ronggeng menghayunkan punggungnya memang mengasyikkan, sedar-sedar aku sudah sampai di asrama.

Pelajaran ku sedang-sedang aje. Malas sangat pun tidak, rajin sangat pun tidak. Di semester ke dua aku menjual motorku dan menjadi orang biasa semula. Dalam sayu pilu, aku ke Jalan Ipoh di Kuala Lumpur untuk menjual motor ku itu. Aku benar-benar tidak mampu untuk membiayainya lagi. Amat tidak wajar ku rasakan di saat itu untuk aku terusan membebankan bapa ku yang cuma seorang peneroka felda.

Title mat motor hilang buat selamanya dari diriku selepas dari hari itu. Bersyukur aku dengan keselamatan dan rahmat Mu Tuhan ku, kini aku tidak perlu lagi pening kepala dan menyusahkan bapa ku untuk membayar cukai dan insuran motor. Aku pula bertukar menjadi pejalan kaki yang gagah lagi perkasa. Setiap hari dari asrama ke kampus, aku berjalan kaki. Tubuh ku pula lebih sihat dan bertenaga dek peluh setiap hari. Syukur sekali lagi ku panjatkan, benar bagai dikata, setiap sesuatu itu ada hikmahnya. Fikiran ku lebih tenang dan duit kocek pemberian bapa ku pula dapat ku gunakan untuk tujuan pembelajaran.

Hingga ke hari ini, aku masih tidak melupakan honda rider ku itu. Satu waktu dulu, dia lah buah hatiku.Membawa ke mana saja teragak hatiku dengan izin Tuhan. Pernah membawa ku menuju ke puncak Gunung Ledang melalui jalan bertar yang digunakan sebagai laluan oleh pekerja stesen pemancar TV3 yang berada di puncak Gunung. Laluan itu juga digunakan oleh pekerja loji bekalan air di situ. Walaupun misi ku itu gagal disebabkan rantai motor ku  putus di separuh jalan, tapi aku bangga dengannya kerana ianya begitu gagah meluncur naik jalan mendaki dan berbelok-belok menuju ke puncak Gunung Ledang.

Sebetulnya waktu itu hari pun sudah hampir senja. Memang kerja gila yang aku dan kawan ku Ajak cuba lakukan. Lampu motor pun terpaksa dihidupkan dek gelap senja bernaungkan bumbung hijau daunan hutan di kiri kanan jalan yang sempit itu. Memang terasa hampa bila rantai motorku putus, tapi sekali lagi detik hati ku berkata tentu ada hikmahnya ni. Ajak juga bersetuju lalu kami pun berpatah balik dengan motor ku di tarik oleh motor Ajak untuk mencari bengkel. Di waktu yang sama, azan sedang dilaungkan dari masjid kampung-kampung yang kami lalui. Syukurlah kegilaan itu terhenti dek takdir rantai motor yang putus.

Dengan kesudian apek kedai basikal membuka pintu kedai dan menghulurkan bantuan dengan sedikit upah, aku dan Ajak meneruskan perjalanan menuju ke kampung Ajak di Minyak Beku, Batu Pahat.

Pertolongan dan bantuan Mu masih Kau hulurkan untuk kami yang seharian tidak sujud kepada Mu. Aku melihat limpahan kasih Mu biarpun terhadap hamba yang ingkar. Sesungguhnya engkau Tuhan Maha Pengasih lagi Maha menyayangi. Buktinya berkali-kali pernah aku rasakan. Cuma syukurnya masih tidak lagi aku abadikan melainkan pada sebutan di bibir sahaja.

Apa pun, bantuan mereka, ke prihatinan mereka. Dorongan dan semangat dari ibu bapa,keluarga dan kawan-kawan, itu semua adalah terjemahan dari kasih sayang mereka terhadap ku sebagai anak, sebagai saudara, sebagai murid dan sebagai kawan-kawan. Begitu juga dengan bantuan Mu yang ku terima di saat aku pasrah akibat kebodohan ku sendiri. Tentunya ini semua adalah dari Mu Tuhan Maha kasih sayang.

Aku akui, hakikat dari yang pernah ku lalui dan alami adalah limpahan kurniaan Mu terhadap diriku.

Dari mula aku dicipta hingga lahir ke muka bumi ini,semua adalah dengan rahmat Mu jua. Hinga kini aku masih menikmati kasih dan sayang Mu biarpun ada masanya aku terlantar di lantai dunia melupakan perintah Mu dan larangan Mu.

Sememangnya sifat Rahman dan Rahim Mu Tuhan terserlah di setiap detik hidup insan. Di setiap nafas yang turun naik ada rahmat Mu. Di setiap deria rasa ada kasih Mu buat kami. Cuma kami sahaja yang tidak mau bersyukur biarpun aku dan semua makhluk mu tahu akan janji Mu untuk menambah kurniaan buat hamba yang tahu bersyukur.

Susah kami kerana tangan sendiri, senang kami tentunya kerana rahmat yang Engkau telah berikan.Semoga aku akan terus beringat dan bersyukur. amiin.



riwayaterakru May 14, 2010 Anuar Zain Ketulusan Hati

10 comments

  1. Fatin Zulkifli // May 17, 2010 at 7:35 AM  

    is this a true story?

    uhh.. touched..

    and

    singgah untuk mengAminkan doa (^_^)

  2. Cheqna // May 17, 2010 at 2:50 PM  

    Salam Rad...real story ke ni?

    anyway..alhamdulillah dgn rahmat dan kasih sayang-NYA masih mampu untuk meneruskan kehidupan dlm keadaan "sedar"..

    ..walaupun mungkin sederhana but tentunya lebih drpd sebahagian insan yang lain..

    setiap yg berlaku ada hikmahnya, semoga apabila sentiasa bersyukur dengan-NYA, akan dapat kebahagiaan hingga ke akhir hayat..

  3. riwayaterakru // May 18, 2010 at 12:04 AM  

    GadisBerstokinBelang, terima kasih sudi amiin kan doa saya. Aha,based on the true story

  4. riwayaterakru // May 18, 2010 at 12:08 AM  

    Cheqna, betulkan, setiap sesuatu ada hikmahnya, syukurlah mamat dalam cerita tu sedar walaupun masih belum di implementnya dengan perbuatan sebagai tanda syukur tu. he he.. Aha !! true story of some one, some where around.

  5. AISHALIFE-LINE // May 18, 2010 at 8:51 AM  

    Penyesalan memang selalu datang di kemudian hari bro.Tapi dengan bersyukur dan menerima apa yang terjadi,insyaallah...semuanya akan musnah.Sebuah catatan kecil yang menarik.

  6. Umihoney // May 19, 2010 at 12:03 AM  

    Penulisan yang baik.Terima kasih berkongsi.

  7. Cheqna // May 19, 2010 at 11:03 PM  

    hehe..ye lah..syukur lah "mamat" yg some one, some where in d world tu diberi kesedaran...semoga dapat menjalani kehidupan yang lebih baik dan sempurna.

  8. riwayaterakru // May 20, 2010 at 12:50 PM  

    benar sekali Aishah, kalau datang dulu mungkin namanya beringat. menarik ke..he he tk Aishah.

  9. riwayaterakru // May 20, 2010 at 12:52 PM  

    betul tu Cheqna..mamat tu pun apa la kan..cite kat orang..kan dah masuk blog. :)

  10. riwayaterakru // May 20, 2010 at 12:52 PM  

    sama-sama UmiHoney.. tk ye hadir. lama tak jumpa..nanti kite ke sana. hari tu pergi..umi tak de..( di blog)

Labels