Dirinya meniti takdir. Ku kenal dia belasan mungkin telah puluhan tahun yang lalu. Sewaktu dia masih anak muda remaja.
Mari saya hantarkan awak pulang. Dia masih tersenggeh-senggeh sewaktu menghampiri kenderaan ku dan terus tersenggeh-senggeh hinggalah sampai di hadapan rumahnya.
Semalam aku melihatnya lagi, masih sendirian berjalan terkeseng-keseng. Usianya wajar untuk dia beranak pinak dan memiliki penghidupan yang lebih baik dari yang pernah ku lihat di waktu yang lalu. Namun dapat aku merasakan dia masih seperti dulu. Pakaiannya masih kemas, senyumannya di selangi dengan sengeh masih jelas tetap menghiasi wajahnya.
Sayu hatiku melihat insan ini, rela dan redha meniti takdir Tuhan untuk dirinya. Hidup masih sendirian biarpun lelaki lain dalam kesibukan menghantar anak ke sekolah. Lelaki lain berkereta bersama anak isteri riang dan gembira pulang dari pasaraya. Dia masih terkeseng-keseng membawa diri, sendiri melalui lorong itu.
Kumisnya sudah ada yang putih dimakan usia, namun semuanya masih kemas dan teratur.
Aku insaf, aku bersyukur bertemu dengannya. Terima kasih kawan biar pun kita tidak pernah mengistiharkan diri sebagai kawan, namun kau selalu melintasi benak fikirku setiap kali aku resah menghadapi liku hidup ini.
Kau buat aku insaf agar menerima apa yang ada sebagai terbaik untuk ku kerana kau yang tidak punya apa masih bisa tersenyum dan buat hati ku senang setiap kali melihatmu. Kehadiranmu buat aku insaf dan sedar akan hakikat rela dan redha.
Akalmu mungkin kurang tapi aku tahu kau insan tanpa dosa lebih mulia dari aku yang meniti hidup dalam dosa dan pahala.
0 comments
Post a Comment