Eh ! dia tengok kita lah, pakcik cuit kawan baik pakcik di sebelah. 

Aku pun perasan dari minggu lepas dia asyik tengok sini dan tersenyum-senyum, tapi bukan kita, dia tengok kau tu, beritahu kawan pakcik setelah meletakkan kembali di meja cawan kopi Tongkat Alinya.

Kami baru pulang dari kerja, biasalah sebelum pulang, pakcik dan kawan baik pakcik ni minum petang dulu di gerai. Sebelum dari ini pun pakcik sudah perasan yang gadis pembantu gerai tu asyik memandang ke arah kami. Tergerak juga hati pakcik yang ditengokkannya tu pak cik, he he cuma fikir pakcik, takkan lah pakcik yang sudah tua ni nak ditengoknya. Semalam dekat sangat dia berdiri di sebelah pakcik sewaktu meletakkan minuman yang kami pesan. Bila pakcik melawak, dia ketawa tak tahan perut, di tepuk-tepuknya bahu pakcik macam dah biasa sangat dia dengan pakcik ni.  Ah ! biasalah tu, takkan pula nak masam muka apabila pelangan tua buat lawak. Bisik hati pakcik sendirian untuk mengelakkan diri dari perasan.

Namun hari ni ketara sangat pula. Pakcik tak naklah jadi jejaka tua perasan. Itu yang pakcik tanyakan pada kawan pakcik untuk kepastian. Rupa-rupanya dia juga sedar yang gadis itu asyik memandang-mandang pakcik dengan pandangan penuh makrifat. Bila dia menjeling pakcik buat-buat tak nampak walaupun sebenarnya pakcik memang nampak. Malu-malu kucing pakcik di buatnya, apa tidaknya, begitu meleret senyumannya setiap kali pakcik memandang ke arah gadis itu. Renungan matanya seperti menyimpan sesuatu di dalam hatinya yang masih belum terluah untuk diungkapkan kepada pakcik.

Sesudah sahaja melepak dan berborak-borak, kami pun pulang. Sebaik sahaja kawan pakcik masuk ke keretanya, pakcik pun melangkah ke arah kereta pakcik. Pakcik mengambil peluang memandang ke arah gerai minuman tu. Alamak ! gadis manis itu sememangnya sedang memandang ke arah pakcik lah. Siap dengan senyum, dilambai-lambainya tangan pada pakcik. Dengan sedikit rasa terkejut pakcik pun balaslah lambaian tangannya tu. Terlebih dahulu pakcik memandang ke arah gerai lain mana tau ada yang terperasan pula pakcik melambai tangan. He he bukan apa, malu juga kalau ada yang nampak, maklumlah dah tua-tua nak lambai tangan pada anak dara, muda remaja pula tu.

Masuk sahaja ke dalam kereta, pakcik tersandar. Perasan ke aku ni, tanya pakcik pada diri sendiri. Tapi betul ni memang dia senyum, jeling-jeling, pandang-pandang dan sebentar tadi lambai-lambai tangan lagi. Uh !! biar betul ni, berfikir pakcik sambil menyusun semula duit lebih yang dibalikkan selepas membayar minuman tadi. Eh ! ada kertas kecil. Eh ! ada notalah. Abang, esok nak jumpa abang sorang-sorang boleh. Kalau boleh jangan ada kawan abang yang tadi tu ye. Bergetar hati pakcik, berombak perasaan pakcik sewaktu membaca nota kecil itu.

Apa halnya ni, pakcik dibauri perasaan dan pertanyaan dari dalam diri. Budak tu suka pada aku ke ? Soalan demi soalan melantun-lantun tanpa jawapan di benak pakcik. Kerja gila ni, aku tak boleh layan, gementar juga hati pakcik pada panorama terbaru yang melanda diri. Sekonyong-konyong terbayang wajah anak-anak pakcik yang berderet di rumah. Sekejap tu juga, terpampang di depan mata wajah isteri dan senyuman manisnya.

Uh ! aku tak boleh buat main benda ni. Esok aku tidak usah minum di sini lagilah kalau macam ni, kesimpulan pakcik bagi meleraikan keadaan yang pakcik sendiri tak pasti lagi ni. Tapi tak mungkin pula dia syok pada aku, budak lagi tuu, sebaya dengan anak sulong pakcik yang di tingkatan lima, tujuh belas tahun usianya. "Impossible" ! "impossible" ! berbolak-balik hati pakcik memikirkannya. Tapi nota ni "real" bukan khayalan. Lambaian tangannya tadi tu pun benar semuanya. Aku tak perasan, memang realistik ni, bersilih ganti antara pertanyaan dan "statement" di sanubari pakcik.

Leka oleh memikir dan mencari kesimpulan, enjin kereta pun sampai lupa pakcik nak hidupkan. Tersentak dari memikir dan melamun perasaan, pakcik pun hidupkan enjin kereta dan terus pulang ke rumah.

Kita minum dulu tapi kita minum di gerai lainlah hari ni, ajak pakcik sebaik sahaja sampai waktu untuk pulang dari kerja pada esok harinya. Aku ada hal lah hari ni, nak bawa "wife" aku beli barang dapur, balas kawan baik pakcik. Ada hal pula dia ni, berkata pakcik dalam hati. Emm kena minum sorang-sorang lah ni, bisik hati pakcik lagi. Sori bro gua ada hal lah, esok kita minum sama, ujar kawan pakcik dan dia terus beredar ke arah keretanya.

Sewaktu kenderaan pakcik merangkak perlahan-lahan melalui hadapan gerai minum yang berderet itu, kelihatan gadis remaja itu sedang memandang-mandang ke arah jalan raya. Memang ditunggunya aku betul-betul rupanya, sedetik itu juga perasaan kesian memenuhi setiap ruang hati pakcik. Elok juga aku selesaikan hal ni dengan baik, apa salahnya aku menghormati perasaan anak gadis itu, mana tau dia benar-benar berperasaan pada pakcik tua ini. Selera orangkan berbeza-beza. Tak baik aku larikan diri, mana tau walaupun dah tak "handsome", senyum manis aku ini masih berbisa di mata hati gadis itu, menyelinap pula ilham terbaru di saat-saat akhir di benak pakcik.

Sambil mengunci pintu kereta, pakcik cuba-cuba menyusun ayat-ayat berupa nasihat yang bakal pakcik ucapkan nanti. Ibarat kata orang dulu-dulu, seperti menarik rambut dalam tepung. Rambut dapat ditarik, tepung tak bersepah-sepah.

Senyum jangan katalah, geleknya pun boleh tahan sewaktu melangkah untuk mengambil pesanan , silap haribulan, isteri lalu dibelakang pun tak perasan punya. Sebaik sahaja meletakan minuman di meja, gadis manis muda remaja itu terus duduk di bangku di bahagian kanan meja yang pakcik duduk.

Ada apa nak jumpa pakcik ni, tak menyempat-yempat pak cik terus bertanya apakah gerangannya hingga gadis itu ingin benar berjumpa pakcik sendirian tanpa kehadiran kawan pakcik sekali. Malulah nak cakap bang, gadis itu termalu-malu sambil jarinya menguis-guis meja. Apa nak malu cakaplah, kamu muda remaja dan pakcik pula dah tua. Panggil saya pakcik boleh, tak sesuai rasanya kamu panggil saya abang. Pakcik mula mengatur bicara yang diharapkan bakal menyedarkan anak gadis itu antara perasaan dan realiti yang wajar untuk dia tahu agar tidak kesasaran dalam berperasaan . Semoga dia sedar, perasaannya itu bukanlah wajar untuk ditujukan pada lelaki setua pakcik ni. Dia yang masih belasan tahun mana mungkin sesuai untuk menaruh hatinya pada lelaki empat puluhan yang sesuai dipanggilnya ayah ini.

Emm saya nak minta tolong pakcik "rekomen" kan kerja di tempat pakcik bekerja tu boleh, "boring" lah kerja digerai makan ni. 

Seperti orang yan terjaga dari mimpi di siang hari, terpisat-pisat mengawal diri agar tidak mamai dek tersentak dari mimpi yang begitu hidup sekali.

Boleh apa salahnya, pakciksecara spontan menjawab dalam keadaan terkawal tanpa riak terkejut mau pun tersentak dari lamunan perasaan .

Dalan hati, sendirian bicara, dalam tak nak perasan, perasan juga aku ni rupanya. Pheh ! nasib baik pakcik bertanya dulu tadi. Andainya terus sahaja diutarakan ayat-ayat nasihat dari awal-awal lagi, he he sah tebal muka dek malu.

Aduh ! macam mana pakcik boleh perasan yang bukan -bukan ni ye. Tak istiqamah lagi rupanya diri pakcik ini.

Buat baik dan gerak geri mengoda ada makna rupanya. Apalah pakcik ni kan, dah tua-tua pun nak perasan lagi. Serik ! serik. tak mahu  perasan selepas ni, biar secomel mana, biar seramah mana. Tapi kan, terasa pula di hati pakcik, kalau melayan dia orang ni "best" juga kan. He he setan dah mula cucuk jarum nampaknya.

Astaqfirullah Al'Azim !.



0 comments

Labels