Hampir saja terlepas jambangan bunga ros yang ku gengam erat sejak ku beli dari kedai bunga tadi. Di hujung sana, di meja snooker Lin sedang membongkok untuk membuat pukulan. Seorang lelaki juga sedang membongkok sambil memeluk Lin dengan tangannya memegang tangan Lin seperti orang sedang mengajar cara-cara bermain snooker.

Jambangan bunga yang ku bawa hampir terlepas dari gengaman tanganku, terus ku lepaskan. Apa perasaan yang menghinggap di dadaku, aku pun tak tau. Marah, kecewa dan panas hati, semuanya ada. Aku melangkah dan berdiri betul-betul di seberang meja di hadapan Lin. Lin, aku menyapanya lembut. Abang !!, itu sahaja yang terkeluar dari mulut Lin. Lin berdiri tegak, wajahnya pucat dan dia begitu mengelabah. Lelaki tadi merenungku, namun dia kalah dalam adegan renung-merenung itu. Tubuhku memang tegap dan aku pula mahir bersilat melayu. Jelas kelihatan kedua-duanya gementar berhadapan dengan ku di saat itu. Lin hanya tunduk dan lelaki itu mengundur ke belakang.

Kerana duitkan, itu saja yang aku katakan di saat itu dan aku pun berlalu pergi. Awalnya tergerak juga hati ku untuk membelasah lelaki itu. Ah! buat apa aku membodohkan diriku buat kali kedua, kalau Lin tak rela masakan dia berani berkelakuan begitu.

Begini akhirnya, selepas dua tahun berkenalan dengan Lin, selepas dua tahun juga aku meninggalkan Lian Tee. Lee Lian Tee, kawan baikku di zaman persekolahan merangkap bekas kekasih ku bila saja kami tamat tingkatan tiga. Aku benar-benar menyesal kini. Aku tinggalkan dia untuk Lin yang memang pandai mengambil hatiku. Walaupun setelah setahun berkenalan, aku mula terasa Lin begitu banyak memberi alasan untuk aku menghabiskan duitku demi memenuhi hajatnya tapi bila dah sayang, semuanya jadi kelabu. Kini barulah terang kembali mataku melihat yang mana intan dan yang mana kaca. Terasa betapa bodohnya aku terpedaya dengan kemanjaan Lin dan pujuk rayunya. Aku benar-benar kesal, aku mesti kembali mencari Lee Lian Ti biar berapa pun harganya yang harus ku bayar untuk mendapatkan hatinya kembali.


Tak sabar rasanya untuk pulang ke kampung. Akan ku pujuk Lelanti biar sepahit mana mesti ku telan. Ada juga keraguan di hatiku bila mengingatkan kata-kata orang tentang perempuan. Orang perempuan jangan dirosakkan kepercayaannya, dalam lembutnya hati perempuan sekali dia hilang kepercayaan, susah nak pujuk balik. Tak pa la, aku mesti cuba, lagi pun di saat ini, aku benar-benar merasa lega seperti telah terlepas dari bala. Aku sedar Lin suka bermain dengan duit selama ini, cuma aku terlalu lemah untuk meninggalkannya disebabkan pandainya dia memujuk rayu dan beralasan.

Kini aku sudah berada di Pekan Batu Anam, tempat kelahiran aku dan Lianti. Lianti nama manja yang aku sorang sahaja memanggilnya, nama yang ku pendekkan dari Lee Lian Tee agar mudah aku menyebutnya, dan dia suka sangat bila aku memanggilnya begitu. Orang tengah bercinta, apa pun akan nampak indah dan suka didengarnya jika yang memanggilnya itu buah hatinya.

Dari dalam kereta, ku lihat Lianti sedang tekun di kedai runcit ayahnya, uncle Lee. Lianti, aku yang sedang tidak menentu arah, berdebar pun ada memanggil nama yang lama sudah tidak ku panggil itu. Apa buat datang sini, Lianti memandang ku dan tunduk semula. Nanti marah buah hati awak tu. Aku terdiam, memang sudah ku agak akan menempuh ini semua.

Saya, saya nak kita seperti dulu semula, tak berani aku memandangnya di saat aku mengucapkan kata-kata itu. Tanpa sepatah kata Lianti terus masuk ke bilik belakang meninggalkan aku termanggu-mangu sendirian. Uhh..payah ni, bisik hatiku. Belum sempat aku melangkah pergi, suara lelaki yang sangat ku kenal memanggil nama ku, Alim, bila sampai..lama tak nampak awak, uncle Lee menegurku sambil menepuk bahuku. Di saat itu, aku dapat rasakan ini lah peluangku, aku tidak boleh menunggu dan bertangguh-tangguh. Saya baru sampai uncle, saya bukan pulang ke kampung tapi saya ingin pulang ke hati Lianti, aku tak segan silu terus meluahkan maksud kepulangan ku ini.

Dulu Alim yang berjanji, bukan sahaja sama Lian Ti, juga sama uncle lepas tu Alim sendiri yang mungkiri janji itu. Dia sangat kecewa dan uncle ayahnya juga turut sama bersedih. Dia anak uncle, Alim. Nanti Alim ada anak dan orang buat macam tu, apa Alim rasa, uncle Lee memandang tepat ke mataku, dan aku hanya mampu tunduk. Aku sedar, aku pesalah yang sedang merayu untuk diampunkan. Maafkan saya uncle, saya silap dan saya berjanji untuk tidak memungkiri janji saya kali ini. Saya sedar salah saya uncle, berilah saya peluang. Aku merayu pada uncle Lee. Biarpun aku harus mengadai kemachoan ku, aku mesti berusaha hingga ketitisan darah terakhir demi perjuanganku untuk mendapatkan semula hati Lianti yang pernah aku kecewakan hingga berdarah itu.

Awak baliklah dulu, uncle tak boleh kata apa, awak pun pernah uncle sayang seperti anak uncle sendiri. Cuma kalau awak nak tahu, perbuatan awak dulu benar-benar mengecewakan kami sekeluarga dan juga ibubapa awak. Baliklah dulu, ibu ayah awak lama dah rindukan anaknya.

Aku melangkah dengan lemah. Hatiku amat sedih , kenapalah dulu aku begitu bodoh. Waktu itu aku baru pertama kali ke Kuala Lumpur untuk bekerja sebaik sahaja tamat pengajian ku di UTM, Skudai. Lin yang bekerja dengan kontraktor yang membekalkan peralatan di syarikat ku bekerja begitu pandai mengambil hatiku. Dia manja dan seksi pula. Akhirnya aku tewas dan di waktu itulah aku tekad meninggalkan Lianti. Buta rupanya hatiku ini, bodoh dalam menilai kemulian hati manusia walaupun aku lepasan ijazah.

Mak, ayah tolong ye,di sebelah malamnya aku meminta bantuan ibu dan ayahku. Aku sedar jika sendirian, hampir pasti aku akan gagal. Saya betul-betul ni mak, saya tak akan mainkan Lianti lagi, aku bersungguh-sungguh menyakinkan ayah dan ibuku betapa aku benar-benar insaf sekarang. Mungkin dah anak sendiri, sebesar mana silapnya, mudah sedikit bagi mereka memaafkannya. Ialah nanti ayah cuba jumpa dengan Lee. Kau tu lah, singkat sangat akal, kami malu masa tu, nasiblah uncle Lee tu cool gila orangnya. Tapi kami benar-benar kesian dengan Lian Ti, Dia merana bila kau buat macam tu. Aku cuma tunduk dan diam mendengar paku buah keras yang dikembalikan kepada ku. Aku pesalah yang minta di maafkan, aku mesti terima semua ini, lagi pun benar apa yang ibu, ayah dan uncle Lee katakan siang tadi. Anak, siapa yang tak marah dan sedih bila di perlakukan sebegitu rupa.

Ah, ayah dah jumpa Lee tadi masa ayah beli surat khabar di kedainya. Kami pergi minum dan berbincang hal kau ni. Syukurlah uncle Lee kau tu akhirnya yakin dengan apa yang ayah cakapkan pasal kau. Cuma kata uncle Lee dia tak boleh buat apa, ini soal hati, kau pujuklah Lian Ti tu, uncle Lee dah beri lampu hijau. Kau pun jumpalah uncle Lee dan minta maaf betul-betul. Sedikit lega aku mendengarkan kata-kata ayah itu.

Terkeseng-keseng aku berdiri di sebelah uncle Lee, ku pegang tangannya untuk memohon maaf. Aku melahirkan kesal ku dan aku sekali lagi meminta maaf dari uncle Lee dan isterinya. Ibu Lianti memang tak banyak bercakap. Cuma dia menasihatkan aku agar tetapkan hati, jangan mudah terpesona dan rambang mata lagi. Terima kasih uncle, untie. Ku genggam tangan ibu Lianti dan di saat itu air mata sesal ku menitis tanpa aku sengajakan. Kami semua sayang sama kau Alim. Jangan bikin itu macam lagi tau. Di peluknya aku. Ibu Lianti menangis sambil memeluk ku. Huhh, sekali lagi tercelik mata hatiku, betapa berharga nya kasih sayang yang sejati tanpa pertaruhan wang dan harta benda. Terserlah di mata hatiku di saat itu, betapa aku benar-benar buta selama ini dalam menilai dan menghargai kasih sayang.

Lianti, berilah saya peluang kali kedua dan jika ini hendak awak jadikan yang terakhir pun tidak mengapa, cuma berilah saya peluang. Aku duduk di hadapan Lianti di ruang tamu di bahagian belakang kedai ayahnya itu. Di meja bulat dengan secawan air teh yang disediakan oleh ibunya, aku terus merayu dan meminta maaf kepada Lianti. Dia tidak memandangku sejak dari awal lagi, malah duduknya juga tidak menghadap ke arah ku.

Berjanji mudah sekali, dulu awak janji hanya saya di hati awak. Awak janji, saya akan kekal selamanya bersemadi di hati awak. tapi sampai hati awak tipu saya. Saya amoi kampung, jaga kedai ayah, bergaya pun tak pandai, apa yang awak cari saya lagi. Lianti tiba-tiba bersuara. Aku cuba memegang tangannya, tapi di sentapnya dengan segera.

Lianti saya benar-benar sedar silap saya. Saya akan buktikan pada awak yang saya ini, saya yang awak pernah kenal dulu. Tolonglah..berilah peluang sekali lagi, terimalah saya, lelaki pertama yang pernah awak sayang, tidak tinggal sedikit pun ke sayang dan kasihan awak pada saya, aku merayu, ku harap dapat melembutkan hati Lianti. Aku dapat melihat dengan jelas menitis-nitis airmatanya bila mendengar kata-kata rayuan ku itu.Sebak dadanya, tersedu-sedu dia menanggis. Aku tahu tangisan itu sudah lama disimpannya di dalam hati. Sedih dan pilu bertahun yang ditanggungnya kerana dikhianati oleh lelaki pertama yang hinggap di hatinya kini terurai bersama deraian airmatanya itu.

Aku membiarkan Lianti menanggis, biar terurai semua dukanya. Aku juga turut sebak melihat dia menangis. Setiap deraian airmatanya itu tanggisan kesedihan dan kecewa akibat aku yang khianat pada cinta dan janjinya. Namun itu juga tanggisan tanda dia masih sayang pada diriku.

Nanti awak tipu saya lagi macam mana? Sambil mengesat-ngesat airmatanya dengan baju yang dipakainya, Lianti bertanyakan soalan. Aku dapat rasakan hatinya mula mencair. Saya akan buktikan pada awak kali ini betapa hanya ada awak di hati saya. Hati saya kekal untuk awak seorang. Tidak dapatkah awak melihat saya sebagai seorang pesalah yang sedang meminta dirinya dimaafkan. Pesalah yang pernah awak rindukan dan sangat awak sayang dulu, kini dia ingin kembali ke pangkal jalan, ingin memulakan langkah yang lebih sempurna bersama awak dan menebus kembali silapnya suatu masa dulu.

Apa lagi yang boleh saya katakan lagi untuk buat awak percaya semula kepada saya, Lianti. Aku bertanya setelah puas aku merayu tanpa mendapat jawapan yang pasti dari Lianti.

Awak tak perlu berkata apa lagi, Awak buktikan saja. Saya tak percaya pada kata-kata awak, saya cuma percaya bila awak buktikan kata-kata awak tu. Ha ha riangnya hatiku mendengar kata-kata Lianti itu. Namun aku masih berwajah sayu dan tidak menunjukkan keriangan tak terkira di hatiku ini.

Saya benar-benar sedar dan saya sangat sayangkan awak Lianti, maafkan saya sekali ini dan saya berjanji akan membahagiakan awak, percayalah.

Buktikan, Lianti menoleh kepadaku dan membalas kata akhir ku itu. Dia bangun dan memandang keluar dari tingkap. Aku pula dengan azam dan seperti di tiup semangat baru, bangun untuk pulang. Akan aku buktikan pada mu Lianti.

Petangnya aku kembali ke kedai uncle Lee, tapi tidak sendirian. Aku datang bersama ayah dan ibuku juga dengan ibu dan bapa saudaraku.

Lianti tunduk malu di saat jari manisnya di sarung cincin merisik oleh ibuku. Aku  memandang Lianti dengan penuh kesyukuran kepada Tuhan. Aku bersyukur jalan yang ku rasakan payah dan sukar, kini telah di permudahkan. Aku yakin semua ini menjadi mudah kerana di hati Lianti sememangnya ada aku sejak dulu, sejak kami bermain dan pergi balik sekolah bersama-sama sewaktu di alam kanak-kanak lagi. Aku yakin hatinya tetap untuk ku, InsyaAllah dan aku berjanji pada diriku tidak akan mempersiakan kasih sayangnya itu kali ini. Semoga aku lebih matang dan dapat menilai kebaikan. Aku yakin, aku boleh.

Aku juga sudah memikirkan nama terindah buatnya untuk ku panggil selepas ni, Maria Lee Abdullah, hanya belum ku khabarkan kepadanya sahaja lagi. Maria Lee Abdullah, suka betul aku menyebutnya, Maria Lee Abdullah ... bestkan.


Hati Kekal Padamu - Mus vs Victor Lee

Hakikatnya tiada yang kekal melainkan Pencipta seluruh alam ini. Cinta juga tidak kekal. 
Hati manusia tetap boleh berubah. 
Berdoalah agar kita semua selamat dalam melayari kehidupan ini
agar dipelihara apa yang sahaja nikmat yang telah dikurniakan Tuhan kepada kita.

0 comments

Labels