Saya sayang sangat sama saya punya suami. Dia sangat baik orangnya. Berlemah lembut dan menjaga saya dengan baik mengikut kemampuan yang terdaya olehnya. Dia pun tidak kurang kacaknya. Suami saya bukan lah pilihan saya tapi setelah berumah tangga saya jatuh hati dan dilamun cinta siang dan malam.

Langit selalu cerah tapi hidup saya suami isteri sentiasa dibayangi panas terik yang buat saya tidak dapat menahan perasaan untuk bersabar lagi. Ibu mertua saya sentiasa mengawal kehidupan kami. Di negera asal saya, ibu suami mempunyai kuasa penuh ke atas anak lelaki yang sudah berkeluarga. Hinggakan suami saya tidak dapat memberikan saya hadiah atau apa-apa pemberian jika ibunya tidak setuju. Seharian saya di rumah mengemas rumah, masak dan membasuh pakaian seluruh keluarga suami saya. Kami semua tinggal sebumbung. Adik-adik ipar lelaki saya baik-baik semuanya, tapi mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana budaya hidup di sana menghendaki isteri suami membasuh dan menjaga pakai makan keluarga suami. Kebetulan suami saya anak yang sulung, maka saya sendirian lah yang menjaga keperluan rumah.

Saat yang paling buat saya derita, bila suami bermesra bersama keluarganya di ruang tamu, dan saya hanya mampu melihat sesekali dari dapur. Ibu mertua saya tidak mengizinkan saya untuk campur sama berborak dan bercerita jika ada lelaki lain sedang berlonggok di ruang tamu biarpun lelaki itu adik-adik suami saya.

Kebahagian bersama suami hanya dapat saya rasai di kamar tidur sahaja. Itu pun awal pagi saya mesti bangun untuk menyediakan keperluan sarapan pagi keluarga. Suami saya terikat tangan dan kakinya oleh budaya di tempat kami tinggal itu. Sebenarnya saya tidak kesah menjaga seluruh keperluan kelaurga suami, memang itu pun yang telah ibu dan ayah ajarkan kepada saya sejak saya kecil lagi. Moi, lu mesti belajar masak dan rajin kemas rumah, nanti lu kawin itu semua lu mesti buat sendiri. Kita hidup di budaya ini, ini nasib kita kaum wanita, pesan ibu.

Yang amat saya terkilan hanyalah tidak dapat menikmati kasih sayang dalam kehidupan harian dari seorang suami. Saya tahu suami saya juga berperasaan seperti saya, dia pernah minta izin untuk berpindah dari ibunya tanpa saya suruh. Malangnya hajatnya itu tidak diperkenankan oleh ibunya.

Di pasar borong petang itu, sedang saya leka menjual hasil tanaman sayur milik keluarga suami saya, seorang lelaki berkulit coklat asik memerhati saya. Bila saya pandang ke arahnya dia tersenyum. Dia berdiri betul-betul di hadapan gerai saya di tengah laluan orang berjalan kaki. Saya hanya tunduk setiap kali dia melemparkan senyumannya. Kemudian dia menghampiri saya. Dia menegur saya dalam dialek kantonis yang tidak berapa fasih. Katanya dia sudah lama memerhatikan saya dan ingin mengenali saya lebih rapat. Dia memberitahu yang dia sudah empat tahun bekerja di cawangan syarikatnya di suatu daerah lain yang berhampiran juga dengan tempat saya tinggal . Dia berasal dari negerinya yang bernama Tanah Melayu. Nama yang tidak pernah saya dengar sebelum ini. Kami tidak berbual sebenarnya, saya cuma menjawab soalan-soalannya, kerana tidak elok dilihat orang wanita bersuami melayan lelaki lain. Tambahnya lagi, dia baru empat bulan di tukarkan ke sini.

Sejak dari hari itu, setiap petang dia akan datang ke gerai jualan saya tanpa mempedulikan permintaan saya agar melupakan sahaja hajatnya, saya kan isteri orang. Lagi pun saya takut, dia lelaki asing yang saya tidak tahu asal usulnya. Saya cuma tahu dia orang Islam dan melayu. Katanya dia masih bujang. Dia benar-benar jatuh hati pada saya dan ingin membawa saya pulang bersamanya. Dia juga berkata dia tahu kehidupan di sini, dia tahu tentang derita hidup saya. Selain dari memerhatikan saya setiap hari, dia juga ada bertanya pada kawan-kawan lelakinya orang tempatan di sini yangmengenali keluarga saya.

Kehidupan saya pula makin terhimpit bila saya mula berbadan dua. Agakkan saya meleset bila mana dalam keadaan yang sarat begitu masih lagi terusan di suruh membuat kerja berat di rumah. Saya yang terpaksa membelah kayu api untuk memasak air di pagi yang dingin. Sejak akhir-akhir ini pula, suami saya seperti kurang mengindahkan saya lagi, dia asik sibuk dengan kerjanya barunya. Pagi-pagi keluar rumah , malam baru balik. Silap saya bertanya, dia naik angin. Saya tahu selain kepenatan, dia juga seperti orang yang kecewa dengan cara kehidupan di sini. Namun untuk menongkah arus melawan budaya hidup di sini, dia tidak terdaya apatah lagi yang harus dihadapnya itu ibunya sendiri.

Saya makin mesra dengan Roslan, lelaki melayu berkulit coklat. Menarik juga orangnya. Akhirnya saya tewas dengan perasaan saya sendiri. Bibit-bibit kasih mula tumbuh di hati saya bilamana dia begitu mengambil berat tentang saya. Dia juga selalu memberi hadiah walaupun hadiah itu cuma sempat saya gengam separuh jalan sebelum saya buang di pertengahan jalan balik ke rumah.. Roslan tahu akan hal itu tetapi dia tetap memberi hadiah dan bunga setiap kali berdiri di hadapan gerai sayur saya tu. Ada masanya Roslan menunggu saya di simpang jalan yang tidak jauh dari rumah suami saya. Ada masanya juga Roslan menolong saya mengandar bakul sayur. Kadang-kadang dia mengambil topi mengkuang di kepala saya lalu di pakai nya. Kami benar-benar sedang bercinta. Sedikit demi sedikit kasih saya terhadap suami mula tawar.

Yang tinggal akhirnya cuma kasihan. Saya amat kasihan melihatnya yang hidup sebegitu payah untuk menanggung keluarga yang begitu besar. Adik beradiknya sepuluh orang. semuanya lelaki. Mereka bukan tidak bekerja tetapi upahnya terlalu kecil, gaji sehari mereka tidak cukup untuk membeli sebungkus roti. Bekerja sebagai buruh di dermaga menarik barang dagangan dari perut kapal layar untuk di muat kan kedalam tongkang sebelum di bawa ke dermaga.

Suami saya penghasilannya agak lumayan, dia bekerja di lombong besi. Cukup untuk makan sekeluarga. Namun untuk memberi pakaian baru setiap bulan kepada saya, itu masih diluar kemampuannya kerana dia perlu mengutamakan keluarganya dan kehendak ibunya sendiri.

Yang bermula pasti berakhir, sampai masa untuk Roslan pulang ke tanah Melayu. Tempoh khidmatnya sebagai penyelia di cawangan sini sudah berakhir. Dia telah diminta pulang untuk berkerja di Tanah Melayu. Roslan merayu dan begitu beria mengajak saya lari mengikutnya pulang. Dia berjanji memperisterikan saya dan saya percaya dia berkata benar dan dia begitu bersungguh-sungguh. Saya juga telah menceritakan kesah kehidupan saya kepada Roslan dan ini menambah lagi simpatinya yang memang telah sedia ada sebelum itu.

Petang itu, di dalam bakul sayur, sebahagiannya di isi dengan pakaian saya dan anak saya yang sudah pun berusia lima bulan. Saya tahu ini kali terakhir saya melihat tanah tumpah darah saya di wilayah Yunan, sebuah dari daerah yang masyhur di Negara Cina.

Saya mencium tangan suami saya pagi tadi, saya sempat memohon ampun kepadanya. Dia agak keheranan, tapi saya beritahu dia saya amat menyayanginya. Sengaja saya suruh dia mendukung anak kami. Di waktu itu dia tidak tahu itu lah kali terakhir dia mendukung anaknya dan inilah kali terakhir dia melihat saya. Sewaktu dia melangkah pergi untuk bekerja saya menitiskan air mata. Hati saya tidak menentu, sebak sayu dan saya tidak pasti apakah yang saya buat ini betul atau salah. Saya amat kasihan kan suami saya di saat itu. Tentu dia akan merana bila sedar yang dia telah pun kehilangan kami dua beranak.

Moi, kapal dah nak bertolak, Roslan yang kelihatan tercunggap-cunggap berdiri di hadapan saya. Kena jalan laju-laju tahu, jangan pandang sesiapa pun, Moi tunduk saja tahu, pesan Roslan lagi. Roslan pun mengambil anak saya lalu di dokongnya. Anak comel saya ni memang sudah biasa dengan Roslan. Nampak sahaja Roslan dia mengangkat tangan minta di dukong. Dengar sahaja bunyi Siren kapal kali kedua kita cepat-cepat jalan . Awak ikut saya tau. Jangan takut Moi, cuma kita kena hati-hati takut ada orang kampung yang nampak moi naik kapal nanti.

Hati saya sangat sebak di saat itu. Ada juga rasanya ingin saja saya batalkan niat untuk lari bersama Roslan di saat-saat akhir itu. Tapi semua seperti bukan lagi menjadi pilihan dan kehendak saya . Semuanya berlaku terlalu pantas di saat itu. Roslan terus menghela tangan saya naik ke kapal bila sahaja siren berbunyi. Kami berlari, tidak berjalan seperti orang lain.
Saya sudah pun berada di ats dek kapal. Pertama kali saya melihat layar kapal yang begitu besar berkembang di tiup angin. Warnanya biru air. Saya mendukung anak kecil dan melihat ke bawah. Orang mula melambai-lambai tangan bila kapal mula bergerak perlahan-lahan.

Seorang lelaki yang amat saya kenali, sedang berlari di dermaga bersetentangan dengan tempat saya berdiri di atas dek itu. Sayup-sayup saya dengar suaranya menjerit nama saya, Moi, Moi jangan pergi Moi, tolong Moi, jangan Moi. Luluh airmata saya di saat itu, betapa insan kerdil itu pertama kali melafazkan kata sayang dan cinta kepada saya. Itulah kali pertama saya mendengar dia menjeritkan kata-kata yang telah lama saya tunggu keluar dari mulutnya. Moi jangan Moi, abang sayang sama lu Moi, abang bodoh Moi tapi abang tak daya Moi . Moi turun moi, aku mendengar suaranya menjerit kepada ku seperti orang sedang menangis. Moooi, jangan pergi Moi..Saya mendengar dia menjerit begitu kuat di tebing dermaga bila saja kapal layar mula menjauh kan diri menuju ke arah laut terbuka. Airmata ku berderai tidak tertahan lagi.. Saya cuma dapat melambaikan tangan kepadanya. Saya lihat dia masih memandang ke arah kapal yang makin lama makin jauh ke tengah. Akhirnya suami saya hilang dari pandangan. Roslan cuma memandang saya dari jauh hingga lah semua nya berakhir.

Saya memang ingin turun semula, memang ingin membatalkan niat saya untuk lari, saya sayang suami saya, saya sangat menyesal di saat itu, saya tau suami saya amat sayang kepada saya rupanya. tapi saya tak boleh berbuat apa di saat itu. Saya ingin terjun tapi macam mana dengan bayi saya nanti. Roslan memang menjarak kan dirinya dari saya bila sahaja dilihatnya suami saya mula mengejar kapal di dermaga tadi.

Saya peluk anak saya dan saya menangis terisak-isak. Roslan datang memujuk agar saya bertenang.

Kini Roslan, suami melayu saya pun sudah meninggal. Cucu-cucu pun sudah masuk universiti. Semua berjaya, ada yang ke ITM dan ada yang ke Universiti. Saya pula sudah bongkok tiga tinggal bersendirian. Anak cucu ajak ikut tinggal bersama mereka. Entah lah saya lebih selesa sendirian. Orang di sini panggil saya nenek, mereka semua ingat saya melayu sebab pakaian saya dan cara hidup seperti orang melayu lain. Nama saya yang diberi oleh abang Roslan, Khatijah. Budak-budak panggil saya Nek Jah.

Saya ada masanya teringat kan bekas suami, Dia masih ada lagi kah. Kalau ada pun tentu sudah tua seperti saya juga. Hingga hari ini saya tidak tahu apakah tindakan saya ini betul atau salah. Cuma bila saya fikirkan yang sekarang ini saya hidup sebagai orang Islam tidak lagi beragama budha, Saya merasa sangat bertuah dan amat bersyukur.




4 comments

  1. Umihoney // February 7, 2011 at 3:41 PM  

    Salam sejahtera,
    Rumah yang cantik.Tahniah.

    Umi senantiasa terhibur dengan kisah2 nukilan sdr walau acap kali membaca. Tahniah. Terus menulis kerana sdr memang dikurniakan bakat menulis dan style penulisan yang baik.

  2. Hati Curio // February 8, 2011 at 2:30 AM  

    Salam buat Umi jua, terima kasih :) Hati siapa yang tak suka, kalau ada yang kata suka, tentu seronok. he he..tk sekali lagi. Blog ni cuma improvise dari blog lama je...kononnya la :)

  3. HaSue // February 8, 2011 at 10:23 AM  

    Agak2,betul ke tak tindakan nek jah tinggalkan suami dia tu ek?huhu..memang serba salah antara tekanan perasaan dan mengejar kebahagiaan..nasib baik suami melayu tu betul2 baik..kalau kena yg jahat camana la agaknya kan..hee

  4. Hati Curio // February 9, 2011 at 4:57 AM  

    Delima jugakan, tapi dalam menyusuri takdir ni, memang banyak rahsia yang tersembunyi, yang akhirnya cuma Tuhan sahaja yang tahu jawapannya. Bagi kita yang penting selamat, mentelah pula memang selamat dan sejahtera yang diharapkan oleh setiap insan, rasanyalah :)

Labels