Abang Mat bisnesnya beli jual. Lebih kurang macam "trading company". Beli barang terpakai dengan harga semurah yang boleh dan jual semula dengan harga semahal yang boleh. Lumayan juga usaha perniagaan abang Mat, dapatlah beli sebuah banglo dan berkereta mewah. Satu untuknya dan satu lagi untuk isteri tersayang.

Oh ya abang Mat ada sebuah motor kap buruk, untuk urusan mencari bekalan. Pagi tu abang Mat merayau-rayau keliling kampung Dongdang Sayang dengan motor kap buruknya. Harapan hatinya  terserempaklah hendaknya dengan barang terpakai yang boleh dijual semula.

Tiba-tiba abang Mat memberek "emergancy". Berkeriot bunyi brek motornya yang tak berapa makan tu. Dari atas motornya, abang Mat memfokus. Meja antik tu, pheh duit ni, bercakap sendirian abang Mat bila melihat di bawah rumah itu terdapat sebuah meja lama yang kelihatan agak antik dari tempat dia berdiri. Ditinjau-tinjaunya kelihatan seorang wanita yang boleh dipanggilnya kakak sedang menyapu di halaman rumah. Tanpa berlengah lagi abang Mat pun segera  memandu motornya memasuki halaman rumah yang berpagarkan kawat duri itu.

Assalamualaikum kak, sambil senyum manis disedekahkan, abang Mat memberi salam hormat kepada kak Semah. Pakai lagi ke kak meja bawah rumah tu. Terus abang Mat kepada maksud sebenarnya menghadap kak Semah. Waalaikumussalam, oh meja tu, tak pakai lagi, budak-budak ni baru belikan akak meja makan baru, sempit pula dapur tu, akak letaklah meja lama ni di bawah rumah, balas kak Semah tulus ikhlas.

Kenapa ? kak semah teringin sangat nak tahu kenapa lelaki muda yang berdiri di depannya itu bertanyakan meja buruknya yang sudah pun pudar warnanya itu. Saya ingat nak belilah kalau akak tak gunakan lagi, abang Mat memulakan bicara bisnesnya. Encik nak buat apa dengan meja tu, balas kak Semah mencari "clue" untuk jawapan kepada tawaran abang Mat tadi. Saya ada sama macam kakak punya tu, tapi satu dari kakinya dah patah.  Mejanya masih cantik lagi, ingat saya nak belilah meja akak tu, bolehlah saya gunakan satu dari kakinya untuk "repair" meja saya tu.

Laa.. kalau begitu, ambil sajalah, tak payah beli, akak tak guna dah meja tu. Tak sampai hati pula kak semah nak jual melihatkan abang mat cuma inginkan satu dari kaki meja buruknya itu untuk dibuat gantian kepada mejanya yang patah satu dari kakinya. Janganlah gitu kak, tak apalah, biar saya beli, ujar abang Mat lagi penuh berdiplomasi. Tak apa akak cakap betul ni, ambil sajalah, lagi pun encik bukan nak jual, encik cuma nak buat ganti kaki meja di rumah encik sahajakan. Dari reput bawah rumah tu, elok juga kalau encik ambil, ada juga gunanya. Sekali lagi kak semah menyatakan pendiriannya yang ikhlas dan  perasaaan tak sampai hatinya untuk menjual barang yang dia pun tak gunakan lagi tu.

Macam ni, saya beli RM 50.00 boleh ke, abang mat mula meletakkan harga. Suka hati enciklah kalau dah macam tu, balas kak semah. Oh ya saya Mat. Petang nanti saya datang jemput meja tu boleh ke, tanya abang Mat sambil bersalam keruk RM 50.00 sambil meminta diri untuk pulang dulu. Ikut Encik Mat lah, akak pun tak ada ke mana hari ni.

Sewaktu dalam perjalanan pulang, riang sungguh hati abang Mat. Rezeki pagi hari ni,  meja jati tu kalau aku "varnish" semula dan jual pheh RM 800.00 laku tu. Sambil memandu pulang abang Mat tersenyum lebar.

Dengan lori kecilnya abang Mat memasuki perkarangan rumah kak Semah. Jam hampir pukul 6.30 petang. Kak Semah yang sememangnya menunggu-nunggu kedatangan abang Mat dari lepas asar tadi berdiri di pintu bahagian dapurnya sebaik sahaja mendengar deruman enjin lori memasuki perkarangan rumah.

Maaf kak ada hal tadi, ingat nak datang awal sikit tadi, abang Mat terus memberi alasan sebaik sahaja dia turun dari lorinya itu. Lama akak tunggu ek ? Tak pa, akak pun ada kerja sikit tadi, masuklah dulu, pelawa kak Semah.

Tak apalah kak, hari pun dah petang sangat ni, saya nak ambil meja tu ya, beritahu abang Mat sambil memerhati ke serata tempat di bawah rumah kak Semah. Meja jati itu tidak kelihatan. Berdebar juga hatinya, jangan-jangan kak Semah sudah berikan pada orang lain.

Kejap akak ambilkan, kak Semah terus masuk ke dapur. Beberapa ketika kemudian kak Semah keluar bersama sesuatu yang sudah pun berbalut dengan kertas surat khabar lama dan berikat kemas dengan tali rapia. Ni akak beri En Mat, kak semah menghulurkan bungkusan itu bersama RM 50.00. Tak sampai hatilah akak nak kira jual. En Mat ambil sahajalah.

Badannya mana kak? terkejut sungguh abang Mat bila dilihatnya kaki meja jati sebaik sahaja diselak bungkusan surat khabar itu. Oh badan dan dua lagi kakinya akak dah suruh cucu akak potong-potong dan bakar. Akak fikir buat susah En Mat bawa sebesar-besar meja tu, nak pakai pun cuma satu kakinya . Akak fikir elok yang lain tu akak bakar ja, ni akak tinggalkan dua kaki meja tu, kalau satu tu tak elok, ada "spare" satu lagi. En Mat ambillah, akak beri ja, duit RM 50.00 en Mat akak pulangkan. Akak ikhlas ni.

Hampir sahaja lalat dan apa sahaja serangga yang terbang bisa memasuki mulut abang Mat yang telopong tu sebaik sahaja mendengar penjelasan kak Semah dari hati yang tulus ikhlas.

Di tengah jalan dalam perjalanan pulang, abang Mat menghumbankan kaki meja itu ke dalam semak. Hampa pun ada, benggang pun ada. Tak puas hati pun ada.

Apa pasal potong kaki meja tu kak Semah ooi !!, tiba-tiba abang Mat menjerit di gelap senja itu, hatinya sebak mengenangkan rezeki di tangan menjadi abu dimakan api.

Kejujuran oleh M.Said & The Lucky Boys

cerita ini saya adaptasikan dari sebuah cerpen pendek Inggeris yang pernah saya baca lama dulu. Tajuk dan pengarangnya pun saya sudah lupa. Cuma yang saya ingat watak utamanya Mr Brown dan meja itu dari jenis kayu redwood kalau tak silap ingat.

0 comments

Labels