Suatu masa dulu, tiba-tiba aku terhenti dari keasyikan. Terhenti bila disergah pertanyaan dari benakku sendiri. Untuk apa aku hidup ini dan apa sebenarnya yang ku cari dan impikan.

Lama masanya ku ambil untuk mencari kepastian dari jawapan-jawapan yang ku nukil sendiri di atas soalan-soalan yang aku sendiri juga sediakan.

Maka bermulalah inkuisi ku di ruang minda ini. Satu demi satu solusi ku cuba dalam mencari kepuasan diri. Aku bertukar dari satu perspektif ke satu perspektif yang lain dalam mencari identiti ku sendiri. Aku menukar pemikiran berkali-kali dengan wajah ku yang masih serupa. Memeriksa diri apa upaya yang ada, apa nilai impian yang perlu dikejar dan apa hajat yang perlu dikotakan.

Di satu pemerhatian yang lain, perjalanan sendirian mencari jawapan membuat aku makin jauh dari arus prima minda hadirin di sekelilingku, makin sepi pula dunia mindaku ini ku rasakan.

Untuk fokus dalam menilai tindakan yang sedang dan lepas, aku serta merta berhenti di suatu lapangan tanpa ku sedari apa latitut dan longitudnya.

Sekali lagi, aku terhenti dari keasyikan, kali ini keasyikan berfikir dan mencari jawapan pada persoalan nukilan ku sendiri. Aku mencari apa yang ku cari.

Sewaktu memfokus, mata ku keletihan dan tentunya kali ini aku berhenti dari keasyikan memfokus. Sewaktu diri dalam kondisi rehat, teringat pula aku masa dulu-dulu. Dulu sebelum aku merayau sendirian menafsir hajat dan rupa impian.

Sekonyong-konyong menjelma satu demi satu wajah-wajah yang pernah ku kenal di ruang kehidupan ini.

Tak semena-mena, baru aku perasan. Kebetulan sekali, hentianku kali ini di halaman rindu rupanya.

Lama rupanya masa berlalu. Dulu aku melangkah dengan persoalan dan musykil. Kini aku kembali dengan jawapan dan rindu.

Akhirnya aku mengkonklusikan semua tindakan yang pernah ku ambil selama ini. Cukuplah sampai di sini. Aku tak ingin teruskan lagi. Aku ingin masuk kembali ke arus prima yang makin ku fahami segala erti di dalamnya. Erti yang tersirat mahu pun yang tersurat di setiap titik di mana saja di sepanjang arus ini.

Akan ku susuri semula denai kenangan lalu, semoga masih ada lagi ingatan dan sudi buatku yang pernah menyendiri tiba-tiba tanpa cerita dan berita.


Mencari Sebuah Nama - Search

0 comments

Labels