Di suatu ketika di waktu dahulu, keringatnya berjurai menitis ke bumi. Menebang hutan, sepemelok pokok tumpas di kerjakan kapak yang dihayunnya. Merengkeh suara dari dada menahan gegaran setiap kali kapaknya menjunam dan ada kalanya tergelincis di batang keras pokok tua hutan.

Sesekali dia berhenti, menarik nafas panjang. Dia memandang ke hadapan, dia senyum dalam deraian peluh mencurah-curah. Terbayang di mata susah dirinya tak apa, anak cucunya nanti tentu bertempat, hidup tak merempat di bumi sendiri.

Berekar-ekar tanah hutan terang oleh tulang empat keratnya. Senyumnya makin lebar, lepas ni aku nak belah kayu di hutan, untuk di buat rumah buat berteduh isteri dan anak.

Pulang memikul kayu-kayu yang siap dibelah-belah. Malamnya tidur belum sempat berkata apa, sedar-sedar hari dah subuh. Letih sungguh namun wajahnya tetap bersemangat. Aku buat ni semua untuk anak cucu dan warisan.

Kini, tok nenek sudah tiada, telah dikandung tanah berpuluh tahun lamanya. Nesannya juga sudah ada yang hilang. Ada cucu yang cuma tahu mereka ada atok nenek tapi tak kenal siapa. Rajin bertanya ayah ibu tahulah sikit-sikit cerita dahulu.

Kini, tanah diterokanya juga sudah tiada, dahg jadi milik orang. Ada yang di pajak tokei nak tanam sayur, ada yang dijual sebab cucu nak bayar hutang bank tersangkut. Ada yang jual tanah warisan atok sebab nak selamatkan diri dari along yang dok kejar siang malam. Ada yang suka-suka dijual kerana cucu nak duduk di bandar. Ada juga kerana nak elak bergaduh sesama pewaris atok.

Tok nenek buka tanah dengan satu tujuan, anak cucu menjualnya dengan berbagai-bagai alasan

Semangat dan keringat Tok Nenek berkubur jua akhirnya oleh anak cucu yang tak mahu beringat.

Anak Kecil Main Api

0 comments

Labels