Puasa ramadhan memperlihatkan diri siapa sebenarnya. Dengan syaitan terantai, dengan kudrat dikurangkan dek lapar dan dahaga, baru dapat dilihat siapa diri ini sebenarnya.

Asal dicipta tiada nafsu mulanya, tiada lapar dan dahaga, tiada syahwat membara di dada.. Suci sungguh asal ciptaan manusia, pada Tuhan berteleku dia memuji dan bertasbih. Berterima kasih dicipta walau pun tak pernah diminta.

Turun ke dunia membawa nafsu akal dan rasa. Di tambah lagi ajaran agama agar imannya pada yang benar sahaja.

Dunia ini hiasannya menawan belaka. Nafsu melonjak suka buat akal lesu sepanjang masa. Iman melaung jangan leka, rasa di dada nak juga. Akhirnya dosa melacak tak terkira. Pahalanya ada tapi entah bagaimana rupa tak tergambar dek akal manusia. Setelah dikira ikhlas hatinya, niat di dada dan jujur langkahnya, adalah sikit-sikit pahala yang boleh dikira berdasar andaian sendiri dan di minda masih dia terkira-kira.

Ramadhan datang bersama puasa, Peluang datang dikala umur masih ada. Melihat diri kotor di cermin ramadhan mengeluhlah dia..Semoga aku berjaya kali ini..dalam hati mengalir air mata, suara bertanya aku ini milik siapa. Suara terus bertanya, kenapa kau lupa asal mula kau di cipta.. airmata terus mengalir membasahi, kini hampir seluruh persada hati digenangi airmata dan sendu hamba.. Sayup-sayup suara datang bertanya, kau nak ke mana sebenarnya ...

Diruang kosong tiada desakan nikmat dunia, melihat hati dan diri. Jauh rupanya insan dari penciptanya, biar pun selalu disebut nama Tuhan dibibir tak lekang, di hati melilau mata mengadap dunia nak pegang apa yang dilarang.

Berkesat-kesat mata, hati memandang diri dan rupa.. di dada bergegar suara, berikanlah limpah dan kurnia agar hamba mu tetap perjalanannya..

Ampunkan aku Ya Allah.. ampunkan aku Ya Allah. Airmata bederai semula..melemahkan nafsu menyegarkan jiwa..Kini berkat ramadhan yang mulia, suci sifatnya, hamba bertaubat mengharap limpah kurnia dari Tuhan maha Pencipta, Maha pengasih sifatNya.

Semoga ramadhan kali ini, kan ku rayakan dengan kejayaan di syawal yang mulia. Berubah wajah hina hamba di sisi Tuhan mendapat redhaNya.


Di Ramadhan Ini oleh Ramli Sarip

0 comments

Labels