Teruja bisa melanda hati hampir setiap insan. Dari anak kecil hingga yang sudah berusia, baik lelaki mahu pun wanitanya. Teruja buat akal sedar hilang fungsinya seketika, buat perasaan terlonjak-lonjak suka luar dari biasa dan ada masanya jadi pelik di mata yang melihatnya.

Teruja menguasai hati dari beberapa detik hingga ada yang memakan hari malah ada yang berbulan-bulan hidup dengan perasaan terujanya itu. Dalam tempoh teruja inilah berbagai-bagai perkara samada negatif mahu pun positif berlaku.

Kebanyakannya di luar dari jangkaan rasa kita atau tidak terfikir pula sampai ke situ jadinya kesan dari teruja itu tadi.

Walau pun ada kesan yang positif namun kesan negatifnya amat banyak dapat kita lihat terutama bila berhadapan dengan mereka yang berniat serong yang memang ahli dalam buat orang rasa teruja. Golongan pro ini memang pandai buat rasa teruja itu bersemarak di persada hati mangsanya tanpa terdaya untuk si mangsa mengawal hatinya lagi.

Bertenang dan bersikap sentiasa meletakkan hati dan minda di atas realiti mungkin cara yang baik untuk mengelakkan hati terperangkap oleh rasa teruja itu tadi.

Berdoa agar ditetapkan oleh Allah hati dan fikiran wajar diajarkan kepada anak-anak dan sepatutnya menjadi sebahagian dari rutin amalan harian kita. Selain dari sebab teruja, pernah saya mendengar dari yang alim bahawa dalam sehari delapan kali hati kita ini berbolak balik.

Berdoa dan berzikir, insyaAllah diberkati Allah akan tetap hati kita nanti.

Sayugia berhati-hatilah kerana teruja umpama ledakan di dalam hati yang kerap buat orang hilang fungsi akal dan yang lebih parah lagi tidak dapat melihat kebenaran seperti sewajar adanya.

Teruja pernah buat orang kehilangan jutaan ringgit malah ramai yang telah rosak diri dan keluarga. Ramai juga mereka yang telah ranap masa-masa indah yang dinikmati selama ini dalam sekelip mata akibat dari rasa teruja tak tentu hala. Berhati-hatilah kerana sebahagian dari kerosakan alam puncanya dari diri kita juga.

Wallahu'alam

0 comments

Labels