Kau yang istimewa, kau lah segalanya. Siapakah dia itu ?.

Dalam diri setiap insan tentu ada yang istimewa bersemadi dalam hatinya. Bagi seorang anak, ibu dan bapanya tentulah insan yang istimewa dalam hidupnya. Adik beradik dan saudara mara tidak terperi istimewanya bagi yang melimpah ruah kasih di hati.dan menghargai persaudaraan.

Bagi yang sedang bercinta, ha ha tentu lah aweknya atau kekasihnya itu yang istimewa dari segala wanita yang bukan muhrim yang dikenalinya. Dalam berkawan pun ada yang istimewa dan mungkin ini yang dipanggil sebagai sahabat. Bertahun tak bertemu, namun kawan baik selalu di hati dan sentiasa dalam ingatan. Seseorang insan ada nilaiannya tersendiri hingga dia menjadi begitu istimewa buat kita.

Aneh tapi benar. Benar kerana ianya selalu berlaku dalam kehidupan manusia. Insan yang istimewa bernama ibu dan ayah selalu diabaikan, di buat endah tak endah, dilawan cakap nya. Ada yang tidak jujur dalam berkawan, malah tidak ikhlas pada insan bergelar sahabat yang dianggapnya istimewa itu,. Aneh kerana di satu saat dia begitu istimewa namun ada ketikanya dia diabaikan atau dilupakan begitu saja. Kenapa ?

Di saat perginya ibu dan ayah, sekelian anak-anak bertangis-tangisan, berhiba lara merembeskan airmata. Seperti dunia sudah hampir kiamat pun ada lakunya. Di saat itu, terasa betapa kehadiran ibu dan bapa amat bermakna dalam hidup ini. Perginya satu kehilangan yang memilukan. Namun begitu, ramai juga yang di saat hidup ibu dan bapa, di lawannya, ada yang tidak mahu menjaga ibu dan bapa yang sudah uzur dan kerap sakit-sakit, apatah lagi yang sudah nyanyuk teruk. Ada yang menghantar ibu bapa ke rumah orang-orang tua. Begitulah daifnya perasaan seorang yang dibangga-banggakan, di sayangi dengan seluruh jiwa raga oleh manusia bergelar ibu dan bapa. Bila ibu dan bapa telah tiada baru lah menanggis, mengalirkan airmata yang tentunya tidak bermakna lagi.

Mungkin lumrah dunia, istimewa begitu terasa di hati hanya apabila yang istimewa sudah tiada di sisi. Begitulah juga dalam hal suami isteri dan berkawan. Sudah berpisah atau sahabat merajuk membawa diri, baru lah terasa kehilangan sahabat atau pun suami maupun isteri. Barulah tersebut-sebut dibibir atau terkenang-kenang di hati akan kebaikan mereka.

Bila sudah tiada, barulah terfikir kenapalah diri ini buat tak kesah pada mereka selama ini. Ada ketika datang sesal di hati memikirkan kebaikan mereka yang sukar dicari ganti. Buat yang kehilangan kasih ibu dan ayah secara tiba-tiba bila ajal mengundang pergi, setiap terbit mentari, terasa seperti baru semalam mereka di sisi. , rindu tak terperi tapi sayangnya mereka tiada di sisi. Mereka ada tapi tiada. Dunia nya sudah berbeza.

Inilah kehidupan bagi yang tidak mau beringat atau yang hanyut dan leka dengan dunianya hingga yang istimewa itu terabai sendiri.

Justeru, sayangilah selagi ada. Baru bermakna kasih dan cinta. Hargailah biarpun wajahnya tak selawa mana. Tanpa kasih sayang, tak bermakna keluarga. Tanpa rindu, sayang tak ke mana. Walaupun berjauhan, jengah-jengah lah bila berkesempatan. Anak jagalah ibu dan ayah, jangan dilupa bakti mereka. Suami isteri pula hargailah sesama sendiri. Sahabat dan saudara ziarah menziarahi bertanyalah khabar dalam ruang yang ada buat mereka yang istimewa.

Kau yang istimewa sememangnya istimewa andai kita benar benar menyedari dan menghargainya.

Nota:
Diterbitkan semula dengan nada baru.
Tajuk asal Kau yang istimewa -rad

0 comments

Labels