Bukan sekali aku menyimpan cita-cita setiap kali ramadhan datang. Sudah berpuluh kali rasanya namun semuanya hampa.

Impian ku untuk berhenti merokok gagal lagi untuk ramadhan kali ini. Aku hanya mampu bertahan selama 10 hari. Di malam ramadhan ke 11 aku tewas. Aku ke kedai dan terus membeli sekotak rokok. Di saat aku menghisapnya aku sedih dan sayu namun kesayuan hanya tinggal sayu. Desakan dari naluri perokokku tidak dapat ditahan-tahan lagi.

Apa agaknya yang mereka letak di dalam sebatang rokok. Aku kira tentunya ia terdiri dari jenis dadah yang agak kuat juga. Mungkin namanya tak seburuk marijuana atau morfin tapi kesannya cukup mengerikan. Aku pernah dengar orang berkata mudah untuk berhenti dari menghisap ganja kerana ianya adalah tumbuhan semulajadi. Tembakau juga dari tumbuhan semulajadi namun tidak ramai yang mampu melepaskannya pergi dengan mudah. Jika ianya semula jadi kenapa begitu payah untuk meninggalkannya.

Atas kerana itu aku menyimpulkan tentu ada sesuatu yang begitu kuat dicampurkan di dalamnya. Mungkin dalam jumlah yang sedikit hingga ianya tidak menjadi kesalahan mengikut undang-undang mana-mana negara di dunia ini.

Aku fikir mereka tahu apa yang ada di dalam sebatang rokok tapi untuk tujuan menjana pendapatan negara mereka menutup mata. Tiada negara pun yang berani untuk mengharamkan rokok seperti mana mereka mengharamkan dadah.

Bagi yang belum merokok, janganlah di cuba. Kesannya amat buruk. Wang ringgit habis di dalam kepulan asap tanpa ada apa-apa faedah biar sedikit pun. Malah ianya di kira membazir sedangkan pembazir itu dikira sebagai sahabat syaitan mengikut pandangan agama Islam.

Andai kerajaan ikhlas dalam menyediakan kesejahteraan hidup untuk rakyatnya, haramkanlah rokok seperti mana mereka mengharamkan dadah. Demi kesejahteraan ekonomi dan kesihatan rakyat yang mereka kasihi, jika benar ada kasih di hati pemerintah terhadap rakyatnya.

Bagi yang berpuasa, mereka bukan sahaja menahan dari lapar dan dahaga, mereka juga menahan diri dari ketagihan dan kesan terhadap fizikal dan pemikiran akibat tidak dapat merokok. Sewaktu berbuka puasa, ketagihan terhadap rokok menjadi-jadi. Satu perasaan yang sukar untuk diungkapkan. Keinginan untuk merokok melonjak-lonjak, meruntun-runtun naluri perokok.

Walaupun aku masih merokok, namum aku percaya tidak merokok itu lebih baik buat diriku. Semoga aku akan berjaya suatu hari nanti meninggalkan tabiat keji ini.

Rokok adalah keji sekeji dadah . Inilah keyakinanku semoga dengan keyakinan ini aku akan tetap berusaha untuk menghindari diri dari terus menjadi perokok.

Andainya jika takdir aku menunaikan ibadah haji suatu masa nanti, aku amat berharap agar aku tidak menjadi pak haji yang masih merokok. Itulah antara cita-citaku di masa depan. InsyaAllah.

Aneh tapi benar, ngeri tapi hisap juga

2 comments

  1. kak Erna // August 29, 2010 at 12:51 PM  

    hendak seribu daya..pasti boleh..jika ada keinginan yang tinggi untuk berhenti..suami ..dah 29tahun berhenti merokok..pasti boleh..boleh dan boleh..kuatkan azam dan semangat..

  2. HatiCurio // August 29, 2010 at 1:11 PM  

    tk kak Erna. mungkin saya ni hisap rokok seludup agaknya he he tu yang payah benar..namun insyaAllah cuba lagi, betul bagai dikata kak Erna tu, hendak seribu daya. tk dgn ingatan ikhlas kak Erna tu. :)

Labels