Manja, buatkan ayah air, terdengar suara ayah melaung dari beranda rumah. Aduh malasnya, baru nak rehat-rehat ayah dah suruh buat air pula. Emm air air, apalah ayah ni asyik nak minum air je, runggut hati Manja sambil menuju ke dapur dengan langkah yang lemah dek malas.

Ni airnya ayah, manja meletakkan secawan kopi tongkat ali di atas meja rotan di sisi kerusi yang sememangnya menjadi tempat ayahnya berehat atau melepak. Terima kasih nak, cian manja baru nak rehat dah kena buat air ayah, berseloroh Pak Im sambil tersenyum pada anak gadis kesayangannya itu yang baru hendak mengenal alam remaja. Manja membalas dengan senyuman yang sedikit hambar sambil berlalu menuju ke biliknya.

Manja berbaring di katilnya mendengar lagu kegemarannya sambil menyelak-yelak majalah hiburan yang dibelinya sewaktu pulang dari sekolah tadi. Manja yang lagi dua bulan memasuki usia empatbelas tahun kini bersekolah di tingkatan dua. Manja dihantar bersekolah di sebuah sekolah agama di bandar. Bila pulang dari sekolah, terasa sungguh letihnya. Ayahnya pula rajin menyuruh buatkan air, tolong ambil itu dan ini. Inilah yang buat Manja selalu merungut, dalam keletihan ada sahaja yang disuruh oleh ayahnya.

Manja buat apa tu, jangan asyik dengan lagu nak, tak bagus tau, dengar sekadar-kadarnya sudah lah, jangan hanyut dek perasaan mendengar lagu, tak elok, tegur Pak Im yang menjenggah Manja di pintu bilik. Ialah ayah, sahut Manja dengan nada suara yang bosan. Apalah ayah ni dengar lagu pun tak boleh. Itu tak boleh, ini tak boleh tapi kerja rumah dan buat air suruh orang juga, runggut Manja sebaik sahaja ayahnya berlalu untuk ke bilik air.

Entahlah, Manja bosan sebenarnya bila asyik ditegur oleh ayah. Ada sahaja perbuatan Manja yang tak kena pada mata ayah. Bosan !! keluh Manja sendirian di dalam hati.

Selepas makan malam, ayah memanggil Manja. Ayah ada nak cakap sikit ni, ujar Pak Im sambil tersenyum lembut memandang anak gadisnya yang cantik manis itu. Ayah nak terangkan kat Manja ni agar Manja tidak salah faham, sambung Pak Im lagi. Ayah nak manja tau yang ayah sayangkan Manja, apa saja teguran ayah pada manja untuk mendidik dan membetulkan sikap dan tingkah laku Manja sahaja. Sambil tu, melatih Manja menguruskan rumah disamping membantu ibu Manja yang selalu tidak sihat tu. Manja nak tau ayah suruh Manja sebab ayah sayangkan Manja. Pelikkan bunyinya pada Manja tapi nanti Manja dah berumahtangga dan ada anak , Manja tau lah apa makna sebenarnya cakap ayah ni.


Bukan ayah marah apatah lagi benci, Manja kan anak ayah, lembut dan teratur Pak Im menuturkan kata nasihat buat buah hati kesayangannya tu. Mana mungkin ayah tak sayangkan anaknya. Harapan ayah bila Manja menerima teguran ayah dan berfikir, Manja akan mengubah mana perangai yang tak elok dan sikap yang tidak kena agar digantikan dengan perilaku dan akhlak yang lebih mulia. Bila kita sudah terbiasa dengan sikap dan sifat yang baik, tentunya semuanya akan jadi elok buat Manja dan ayah pun tak lah asyik nak tegur Manja lagi. Pak Im cuba menerangkan pada Manja agar dia tidak keliru dengan tindakannya yang berniat baik untuk mendidik anak gadisnya itu. Maklumlah orang muda sekarang mudah berasa hati dan berfikir yang negatif bila ditegur.

Manja faham ayah, balas Manja sambil mengangguk-angguk tanda faham. Adui ceramah la pulak ayah ni, dalam hati lain pula bicara Manja, merunggut dia bila mendengar penerangan Pak Im yang panjang lebar itu. Naik bosan Manja mendengar khutbah Pak Im tapi apa dia nak buat kenalah dia tunggu sampai habis walaupun tiada satu pun yang masuk ke dalam hatinya.

Manja buatkan ayah air nak, terdengar suara ayah sayup melaung dari beranda, bergegas manja bangun mendapatkan ayah, namun kerusi rotan tempat ayah melepak sambil berehat kosong. Sebak dada manja lalu terus dia ke bilik dan duduk di birai katil. Tersedu-sedu dia menanggis.

Sudah seminggu pemain MP4 tidak di sentuh Manja. Sudah seminggu juga ayahnya dijemput pulang menemui Penciptanya. Pergi yang tak kan kembali lagi.

Manja rindukan ayah, Manja benar-benar ingin bertemu ayah. Maafkan manja ayah, suruh lah Manja ayah, Manja tak kan merunggut lagi. Terisak-isak Manja menangisi sikapnya yang suka merunggut dan tidak ikhlas bila disuruh ayahnya membuat kerja rumah selama ini. Ditambah lagi dengan rungutan setiap kali disuruh menyediakan secawan tongkat ali kegemaran ayahnya setiap kali dia pulang dari sekolah.

Manja malas dan merunggutkan bila ayah minta tolong, nanti ayah sudah tiada baru Manja rasa betapa rindunya Manja pada suruhan dan teguran ayah tu nak. Kasih sayang biasanya dapat kita rasa bila ianya sudah tiada, terngiang-ngiang kata-kata ayah di telinga Manja di saat ini.

Harga sepasang mata hanya diketahui nilai dan nikmatnya oleh si buta, begitulah peringatan ayahnya yang pernah Manja gelakkan di dalam hati suatu masa dulu. Kini semuanya telah menjadi nyata.

Kini Manja rindukan teguran ayah. Manja sunyi tanpa nasihat dan ceramah ayah. Kini Manja benar pilu dan sedih, baru kini Manja sedar teguran, nasihat dan suruhan itulah kasih ayah rupanya. Manja masih terisak-isak. Manja rindukan kasih ayah.

Manja rindukan senyuman dan lawak jenaka ayah bila dihulurkan secawan kasih kepadanya setiap kali Manja pulang dari sekolah.

Maafkan Manja, ayah ... air mata sesal masih mengalir menuruni pipi Manja terus menitis ke lantai.

Ayah disampaikan oleh Jay Jay

0 comments

Labels