Sabariah ke sungai setiap petang bersama adik-adiknya untuk membasuh kain dan mandi-manda. Setiap petang Sabariah dan adik-adiknya hampir pasti melewati laluan bersebelahan rumahku.

Mungkin kerana sudah terbiasa dengan rutinnya itu, aku menjadi penanti setia di setiap petang bersidai di tangga hadapan rumah atau pun berpusing-pusing di halaman rumahku. Tiada apa yang ku buat melainkan menanti Sabariah lalu. Cuma yang peliknya, sebaik sahaja Sabariah sampai bersama adik-adiknya itu aku pasti buat-buat tak nampak. Aku segan sebetulnya. Ibarat kata orang dulu-dulu, mahu tapi malu.

Sebaik sahaja Sabariah melepasi tempat ku berdiri, aku terus berpaling dan memandangnya. Di saat itu juga pasti dia berpaling dan pastinya juga tersunging senyuman di bibirnya hadiah buat ku di setiap petang. Itu saja, aku pun terus naik ke rumah sebaik sahaja Sabariah melewati bahagian belakang rumah ku untuk ke sungai.

Begitulah setiap petang, hari berganti bulan, bulan menjadi tahun namun aku masih belum berani membuka mulutku untuk menegur Sabariah walaupun hatiku meronta-ronta ingin menegurnya. Bila malam datang kebiasaan buat ku memikirkan Sabariah. Ada masanya aku berangan-angan memikirkan saat indah ciptaan perasaan ku sendiri jika aku dapat hidup bersamanya. Di setiap kali aku berangan pula, lagu "My Lady" adalah musik latarnya. Kesetnya aku beli yang original. Aku beli dua keping satu untuk ku dan satu untuk ku berikan pada Sabariah kononnya.


Sambil berangan sesekali aku menarik nafas panjang, bila agaknya dapatku berikan kaset lagu "My Lady" ini pada Sabariah. Tegur pun tidak berani, nak beri kaset konon, ha ha aku ketawa dan tersenggeh sendirian bila mengingatkan perasaan gubra yang menerpa hati secara mendadak setiap kali Sabariah menghampiri halaman rumah ku.

Hai Sabariah, bilalah agaknya aku mampu membuka mulut ku untuk menegur mu. Alangkah baiknya jika kau yang mulakan dahulu. Aku yakin kau juga mengharap agar aku menyapamu dahulu. Inilah susahnya jika malu tak bertempat, gugup tak menentu.

Dalam diam-diam, aku merisik perihal Sabariah. Ibuku sendiri ada bercerita tentang anak gadis Pok Li itu. Menurut ibu, dia baik orangnya, rajin menolong ibunya mengemas rumah dan lagi menurut ibuku, Sabariah pandai memasak. Antara ayat ibuku yang paling meriangkan hatiku, kalau kau berkenan dengan Sabariah tu, mak okey je. Cakapnya sahaja mak tidak berapa nak faham, tapi tak apa, kau kan ada bolehlah kau jadi tukang terjemah kalau ada yang mak tak faham.

Ibu ku memang sering termanggu-manggu bila ibu Sabariah datang berborak dengannya. Secara umum ibu ku dapat menangkap apa yang dibicarakan tapi bila perkataan yang hanya ada dalam kamus Besut, digunakan oleh ibu Sabariah, ibu ku hanya senyum dan mengangguk-angguk, kalau orang tengok macam lah ibu ku faham tapi he he.

Makin tertawanlah hatiku pada kau Sabariah. Ibu dan adik beradik ku makin kerap memuji dan menyebut nama mu. Ibuku pula sudah memberi lampu hijau. Pee witt !! Aduh, macam mana nak buat ni, berfikir sakan aku sebelum tidur malam itu mencari ilham untuk memulakan sapaan terhadap Sabariah, anak dara Pok Li yang berasal dari Besut, Trengganu itu.

Aku makin nekad untuk memulakan bicara dengan Sabariah sebaik sahaja terdengar di telinga ku ada pemuda kampung telah datang untuk meminang Sabariah. Bukan seorang, malah sudah dua tiga orang masuk merisik cuma sehingga hari ini Sabariah masih menolak. Mungkin dia menunggu aku agaknya.

Petang itu aku menanti Sabariah dengan debaran dan degupan jantung yang aku sendiri dapat mendengarkannya. Ah, aku nekad, aku mesti memulakan langkah pertama ini jika aku ingin terus melangkah bersama Sabariah di alam nyata, jika tidak pastinya aku cuma bersama dengannya di alam angan-angan. Andainya disambar pemuda lain, aku juga yang akan melopong nanti.


Kelihatan Sabariah menuju ke arah rumahku, dari jauh dia kelihatan tersipu-sipu malu bila dilihatnya aku sedang memandang ke arahnya. Debar jantungku makin kuat, jangan gugur sudahlah, pasti aku mati kempunan, fikir ku. Sabariah dan adik-adiknya mula melangkah masuk ke halaman rumah sebelum menyusuri bahagian tepi rumah ku untuk ke belakang. Di saat itu entah kenapa dan bagaimana, aku tiba-tiba mendongakkan mukaku memandang ke langit. Cis, apa yang ku buat ini. Aduh gagal lagi rupanya. Marah betul aku kepada diriku sendiri.

Sebaik sahaja ku rasakan Sabariah melepasi tempatku berdiri, segera aku menoleh ke arahnya, dan aku benar-benar gugup. Tersunging senyumannya dengan matanya tepat merenung mataku. Sabariah tidak seperti selalu, melemparkan senyuman sambil melangkah pergi. Di petang itu dia berhenti dan berpaling menghadap ke arah ku.

Abe nok kecek gapo...kabo ah..ambe nok deras nih, Sabariah bertanya dengan suaranya yang serak-serak basah itu dalam lorat Trengganu yang diguna pakai di kampung asalnya iaitu di daerah Besut. Halkum ku bergerak-gerak di saat aku tertelan air liur dek terkejut dengan sapaan Sabariah itu.

Nak gi mana, sungai ke ? Spontan keluar ayat dari mulutku. Huk alo dok kan nok gi kedai lalu sini, balas Sabariah jelas memperlihatkan betapa bodohnya soalan ku itu. He he aku tersenggeh, segan pun ada tapi terasa sedikit keberanian telah mula datang di hatiku. Aku tidaklah pandai bercakap mengikut lorat yang digunakan oleh Sabariah tapi aku faham setiap patah yang diucapkannya itu.

Cakap sikit boleh, aku bertanya sambil melangkah ke arah Sabariah. Deras lah, kan mok blebe kalu lambat kelik dari sungai, Sabariah seperti tidak sabar pula menunggu gerangan apa yang hendak ku tanyakan itu.

Saya suka awak dan saya nak kawin dengan awak, oops kawan..sorry silap cakap. Sekali lagi aku tersenggeh-senggeh, silap sebut pula. Apa la aku ni, kalut sangat, detik hatiku bila menyedari perangai kalut ku itu menghalang untuk aku dengan lancar meluahkan isi hatiku kepada Sabariah.

Weelah nok whoyat tu jer...ambe ingat nok kabo penda sakni, balas Sabariah yang sedang memegang tangan adiknya, sambil tunduk melangkah pergi ke arah belakang rumah ku. Tak faham aku di saat itu, aku ada salah cakap ke. Tadinya dia beria berhenti dan bertanya apa aku nak cakap, bila aku dah cakap dia berlalu begitu sahaja. Pelik betul aku memikirnya. Semua yang ku angan-angankan meleset dan jauh dari kenyataan.

Malam itu aku tidak berangan lagi. Mata ku pejam celik melayan fikiran. Terfikir-fikir aku kenapa Sabariah tidak menjawab pelawaan kasih ku itu. Adakah sebenarnya selama ini aku cuma perasan dan bermain dengan perasaan ku sendiri. Uhh.. letih betul otakku memikirnya. Tahu-tahu azan subuh berkumandang dan aku masih belum melelapkan mata biar pun selelap jua.

Petang esoknya aku tidak menunggu di halaman rumah ku lagi, aku malu dan segan mana tahu Sabariah sememangnya tiada apa-apa perasaan seperti yang ku anggapkan selama ini. Sebaik sahaja bunyi selipar Sabariah dan adik-adiknya sepi dari pendengaran ku, barulah aku turun ke halaman rumah. Aku terjenggah-jenggah dari tepi rumah ku, masih mengharap rupanya, mana tau Sabariah masih belum jauh melepasi rumah ku, tak dapat tengok wajahnya, dapat tengok dia berjalan dari jauh pun jadilah.

Bang, ni kakak bagi surat. Pheh ! terkejut gila aku. Entah dari mana dan bila masanya sampai, tahu-tahu adik Sabariah sudah berada di belakangku sambil tangannya menghulurkan kertas putih berlipat segi empat sama. Terima kasih dik dan belum habis aku mengucapkan terima kasih, adiknya Sabariah pontang panting berlari mengejar kakaknya yang mungkin sudah pun sampai di sungai.

Tersenyum lebar aku. Resah gelisah, segan dan malu hilang entah ke mana, kini aku tak sabar membuka lipatan kertas putih itu. Tak ku sangka ceritanya bertukar wajah dari muram dan segan, kini aura gembira dan riang mula menjelma mewarnainya.

Abe maafkan Sabariah pasal hok kemarin tu, Sabariah diri pon dok reti bakpe, cuma bile abe kecek lagu tu, Sabariah rasa malu sapai dok reti nok khabo lagu mana perasaannye masa tu. Tubit - tubit Sabariah dok cokoh bira sungai. Sabariah mintak maaflah. Pasal yang abe whoyat tu, lama-jamang doh Saba tunggu - tunggu. Trima kaseh lah pasal Abe nok jugok ke Sabariah budak kampong yang dok reti penda satu nih.

Merendah diri nampak, bisik hatiku sebaik saja habis membaca surat pendek dari Sabariah itu. Huh ! riang tak terkata, aku sendiri dapat merasakan betapa berseri-serinya wajahku di saat itu, kegembiraan tak terkata bila ku tahu yang aku benar-benar tidak bertepuk sebelah tangan rupanya.

Biar pun aku dan Sabariah sudah tahu isi hati masing-masing, namun kini aku tidak lagi menunggunya di halaman rumah ku setiap kali petang tiba. Memang aku bernasib baik sempat meluahkan isi hatiku kerana keesokan harinya paip air yang telah berbulan-bulan di pasang oleh Jabatan Bekalan Air Pahang mula berfungsi.

Sabariah tidak ke sungai lagi selepas dari hari aku mendapat suratnya itu. Bila rindu aku ke rumahnya. Kan senang kalau dah berterus terang, betul tak ?

Malam semalam dan sebelumnya, malam ini entah berapa kali aku pun tidak kira, lagu "My Lady" ku dengar berulang kali. Lagu ini yang memangnya aku tujukan buat Sabariah, aku dengar sambil mengangankan saat indah bersamanya nanti.

Cuma kali ini anganku tidak kosong lagi, Sabariahku juga suka mendengar lagu ini. Oh ya, lupa pula aku nak beritahu, kaset lagu "My Lady" yang ku simpan untuk ku berikan pada Sabariah telah pun ku berikan padanya tanpa perasaan gubra dan kalut. Aku nyatakan yang lagu itu ku tujukan khas untuknya. Sabariah tersenyum simpul dan jelas raut keriangan di wajahnya sewaktu ku ucapkan kata-kata itu

Tugas besarku sekarang, kerja rajin-rajin untuk kumpul duit dengan kadar yang seberapa segera. Sebelum ini aku dilanda gubra, kini aku dilanda risau, bimbang takut-takut kehilangan Sabariah.

Susah juga bercinta ni kan.

Kan .. kan ...

Terjemahan kata bicara Sabariah di atas
Abang ada nak cakap apa, cakaplah, saya nak cepat ni - Abe nok kecek gapo...kabo ah..ambe nok deras nih

Aha la tak kan nak pergi kedai lalu sini - Huk alo dok kan nok gi kedai lalu sini

Cepatlah kang mak marah kita kalau balik lambat dari sungai - Deras lah...kan mok blebe kalu lambat kelik dari sungai

Ohh nak cakap itu je. kita ingat nak cakap apa tadi - Weelah nok whoyat tu jer...ambe ingat nok kabo penda sakni

Abang maafkan Sabariah tentang petang semalam, Sabariah sendiri tidak faham kenapa cuma sebaik sahaja abang cakap macam tu, Sabariah segan sangat - Abe maafkan Sabariah pasal hok kemarin, Sabariah diri pon dok reti bakpe, cuma bile abe kecek lagu tu, Sabariah rasa malu.

sampai tak tahu nak cakap macam mana perasaannya di saat itu. Sedar-sedar Sabariah sudah berada di tebing sungai. Maafkan Sabariah. - Sapai dok reti nok khabo lagu mana perasaan nye masa tu. Tubit - tubit Sabariah dok cokoh bira sungai. Sabariah mintak maaf lah.

Berkenaan yang abang cakap tu, sebenarnya sudah lama Saba tunggu-tunggu. Terima kasih kerana abang sudi menerima Sabariah gadis kampung yang tak tahu apa-apa ini - Pasal yang abe whoyat tu, lama-jamang doh Saba tunggu - tunggu. Trima kaseh lah pasal Abe nok jugok ke Sabariah budak kampong yang dok reti penda satu nih.

Penghargaan Terima Kasih

Setinggi kasih penghargaan dihulurkan buat Saudara Samrael yang bertungkus lumus menterjemahkan kata-kata Sabariah ke dalam lorat trengganu daerah Besut
Terima kasih sekali lagi.

Nota Kaki
Sungging, menurut Kamus Umum W.J.S Purwadarminta, arti kata sungging adalah lukisan (perhiasan) berwarna dengan cat ( air mas dan lain sebagainya ); juru sungging, pelukis sungging; seni sungging, seni membuat perhiasan. Dalam bahasa jawa, sungging berarti menurun/menyalin gambar atau tulisan dengan lengkap dan teliti. Konon, kata sungging berasal dari nama orang China yang bernama Sun Ging. Sun Ging bermukim di Kudus dan mengajarkan ukiran. Sehingga para pengukir ini dinamakan sungging.
Sumber: e-wayang's Notes/Facebook.

0 comments

Labels