Aku bersandarkan almari di sisi katil merenung tubuh layu tak bermaya itu. Memandang diri mu diiringi sayu pilu. Di hati pula berdoa agar kau pulih biar pun aku tak pasti apa lagi yang harus ku doakan. Bertambah pilu menghiris hati melihat sesekali air mata mu terbit lalu mengalir di pipi terus menitis membasahi cadar tilam yang mula kusam.

Aku tahu sakit mu tak terperi, namun apa lagi usahaku selain menemani mu di setiap detik agar aku dapat bersama mu meniti urutan takdir. Di saat air bisa menitis-nitis dari siku dan sendi-sendi tubuhmu aku tidak dapat bayangkan betapa tabahnya engkau memandangku sambil mengukirkan senyum. Senyum buat suami mu yang amat kau kasihi.

Setiap kali sebak dada mu mengenangkan nasib menimpa diri, ku ukirkan kata bicara tentang derita Nabi Ayub yang paling derita menahan sakit tak terperi. Ku khabarkan kepada mu tiada lagi insan yang sakitnya sesakit Nabi Ayub a.s yang sabar dan tabah itu. Ku ulang-ulang mengungkapkan kata sakti yang sering buat kau tenang dan tersenyum semula. Engkau milik Tuhan , tubuh mu milik Tuhan, ulat yang sedang mengutil-gutil daging mu itu juga milik Tuhan. Apakah erti derita.  Itulah ungkapan kata yang hampir sama di tanyakan  kepada Ayub di saat derita menanggung sakit tak terperi dan di tinggalkan isteri.

Aku tahu kau amat menderita, ku harapkan hadir ku setiap detik di sisimu akan menawar lara di hati mu yang hampa kerana tidak dapat berbakti untuk ku biar sekali cuma. Agar kau tahu lelaki ini amat mencintai diri mu biar apa keadaannya sekali pun.

Petang itu aku benar-benar tersentuh. Tersedu sedu aku menangis di dapur sewaktu menyediakan ubat untuk mencuci kudis dan nanah yang terusan mengalir. Saat aku cuba mencuci nanah dan air bisa yang hampir membeku di jari mu, tisu di jari mu tertanggal meninggalkan tulang. Aku menangis kerana itu seolah-olah petanda yang harapan makin tipis. Terasa di hati ku selepas ini hadirku cuma menemani mu menanti kedatangan malaikat yang bakal membawa kau pergi.

Sesungguhnya aku lebih rela begini menemanimu di kamar ini. Aku rela meninggalkan dunia lelaki ku yang sedang membara asal saja kau dapat ku tatap setiap hari. Janganlah kau pergi tinggalkan suamimu yang setia ini.Itu lah bicara hatiku, itulah doa ku di setiap nafasmu yang tersekat-sekat.

Tubuhmu yang tinggal tulang dan kulit buat aku pilu hiba tak terkata. Namun aku harus sentiasa nampak tabah agar kau tidak bersedih di saat melihat diriku.Hidung ku pula mula lali dengan hamis bau dari nanah dan kudis mu yang memenuhi setiap ruang kamar. Aku tahu kau malu dengan aib yang kau tanggung itu setiap kali kau ku sentuh, puas aku buktikan tiada ruang untuk jijik dan geli di hati ku biar seteruk mana pun baunya, biar sepekong mana kudis di tubuh mu. Semuanya telah ku cuci, ku harumkan dengan kasih dan cinta ku terhadap mu.

Nak apa yang, kuat sikit, abang tak berapa dengar, sering aku bertanya setiap kali melihat bibir kering mu bergerak-gerak. Suara mu makin sukar untuk terbit dari bibir mu. Sesekali aku terfikir apakah berdosa diriku kerana ada waktunya dikala melihat kau berkeruh menahan bisa dan sakit, aku seperti mula merelakan kau pergi. Tak tertanggung perasaan ku melihat derita mu ini.

Aku tau kau begitu sedih kerana aku suamimu pada nikahnya sahaja. Malam pertama kita, kau rasa letih. Ku izinkan kau berbaring merehatkan tubuhmu. Bila aku masuk ke kamar kau sudah tidur. Aku berbaring di sisi mu sambil menatap wajah mu yang putih licin bak puteri. Rupanya itu kali terakhir kau perlu meminta izin dari ku. Esoknya dan hari-hari berikutnya, kau terus terbaring. Bangun mu bila ku dukung ke bilik air. Bangun mu bila ku pangku kau di riba.

Beribu kali ucapan terima kasih kau ucapkan setiap kali hajat mu aku yang sempurnakan. Ku dukung dan kau ku mandikan. Kau sedih kerana aku terperangkap di sangkar cinta mu yang penuh lara. Puas aku cuba menyakinkan mu, aku rela walaupun aku sendiri tidak tahu bagaimana lelaki yang asalnya nakal seperti ku ini bisa mampu mengurung diri di kamar kusam menjadi penunggu setia mu. Mungkin ini juga takdir buat diri mu, pertolongan Tuhan atas diri mu yang tabah itu.Bukan kah di setiap kesusahan akan diikuti dengan kemudahan seperti diajar Agama. Tak perlu kau ucap terima kasih kerana aku juga mengharap kehadiran mu dalam hidupku.

Sakit mu memang misteri. Luluh daging dan rambut, cuma meninggalkan kulit yang membalut tulang sahaja.  Setiap kali aku mengangkat mu untuk mengambil angin di halaman rumah, terasa seperti helaian kain yang ringan tubuh mu ku dukung. Dukun , bomoh, tuan doktor, tabib dan pakar semua telah ku cuba, kesannya masih hampa.

Tersenyum aku saat ini terkenangkan kata-kata mu. Abang kawin lah lain, saya rela. Dan kau memalingkan muka mu ke arah lain. Bila ku jenggah, ku lihat menitis airmata mu. He he aku tahu hati mu perempuan. Jangan kau ulang bicara itu, jika kau benar mengasihi diriku. Itulah ugutan ku agar kau tidak terus bergundah gulana mengenangkan aku suami yang hampa. Tidak sayang, aku tidak pernah hampa. Itu cuma fikiran mu dengan anggapan biasa terhadap  lelaki yang perlu itu dan ini dalam keperluan menjalani kehidupan. Jangan kau bimbang, telah ku lentur diri ku ini. Aku juga belajar dari tabah mu. Aku juga mesti tabah jika aku benar jujur dalam menyayangi mu.

Kini aku masih lagi setia melihat katil tempat mu berbaring biar pun sudah dua tahun ianya sepi kau tinggalkan. Belum mampu lagi hati ku mengantikan pembaringan mu itu dengan wanita lain. Aku yakln kau di sana sedang menanti ku.

Malam makin larut, aku harus tidur. Setiap kali ku tutup mata ku , ku amat berharap agar kau hadir dalam mimpiku seperti kau selalu hadir di awal pemergian mu dulu. Hadirlah dengan izin Tuhan, aku amat merindui dirimu di saat ini. Haruman bunga tak pernah ku jumpa di mana-mana memenuhi kamar setiapkali aku tersedar bila kau pergi dari mimpiku. Aku benar-benar rindukan engkau isteriku, rindukan harum mewangi bauan syuhadah yang hadir bersama hadir mu di dalam mimpi ku.

Salam sejahtera syuhadah cinta ku. Ucapan salam sebelum tidur buat mu sayang. Di kamar mimpiku kita beradu.


SAMUDERA - Salam Sejahtera

0 comments

Labels