Encik tak adil dengan saya, yang susah-susah encik suruh saya buat, yang best-best encik berikan dia, saya sikit pun encik tak mahu ajarkan, tiba-tiba awek kartun dengan nada yang lembut meluahkan isi hatinya diiringi senyum di bibir.

Awek kartun berdiri di hadapan mejaku dengan membongkong sambil menupang dagu dengan kedua-dua belah tangannya. Awek kartun memang selamba orangnya namun inilah pertama kali dia meluahkan isi hatinya kepada ku. Aku memandang ke arah kiri dan kanan. Rakan sekerja yang lain masih belum di meja. Ada yang belum sampai, yang sudah sampai pula masih lagi di "pantry" menikmati sarapan pagi.

Saya tahu saya tak lawa, dia cantik sebab itu encik lebihkan dia. Saja saya cakap ni, kalau silap maafkan saya, tambah awek kartun lalu beredar ke mejanya semula meninggalkan aku yang masih terpingga-pingga.

Tersentak juga sewaktu mendengar luahan hatinya itu. Apa tidaknya, tiba-tiba saja awek kartun datang ke mejaku dan meluahkan kata-kata yang sedemikian rupa. Aku pandang wajahnya yang telah pun memulakan kerja sebaik sahaja beredar dari mejaku tadi. Sesekali dia menjeling ke arah aku. Agaknya dia cuba melihat reaksi aku dengan apa yang baru diluahkannya sebentar tadi.

Termenung aku petang itu memikirkan luahan isi hati awek kartun pada paginya tadi. Entah berapa lama telah disimpan dalam hatinya selama ini, aku pun tak tahu.

Kini soalan demi soalan bertingkah menerpa ke benakku. Betul ke aku ini tak adil ? Betul ke aku lebihkan awek cun itu dari awek kartun seperti yang didakwanya itu ?

Sesekali aku menjeling awek kartun yang duduk di sebelah kiri mejaku. Dia buat tak tahu saja seperti tiada apa yang berlaku. Ku pandang pula awek cun di sebelah kanan meja ku. Ewah ! dia perasan rupanya, terukir senyum diwajahnya sewaktu memandang ke arah ku. Memang cantik dan manis orangnya. Ada lagi, seksinya pun boleh tahan.

Ku pandang semula ke arah awek "cartoon". Kenapa encik tengok saya macam tu ? tiba-tiba dia bersuara. Matanya masih memandang ke arah komputer. Awek kartun perasan rupanya yang aku sedang memerhatikannya sejak dari tadi. Tak ada apa-apa, cuma saya sedang memikirkan apa yang Lina cakapkan pagi tadi, balas ku dengan senyuman tersungging tanpa sengaja.

Abang ! saya balik dulu ye, jumpa lagi esok, awek cun menjentik lenganku. Kemudian tergelek-gelek menuju ke arah pintu keluar untuk pulang. Oh ! sudah pukul lima petang rupanya. Aku pun hampir tak sedar waktu untuk pulang sudah sampai.

Aku terus bersandar sambil jari jemariku bermain-main dengan pen. Ku lihat awek kartun begitu tekun menyiapkan kerjanya

Lina ! nak cakap sikit, aku menegur awek kartun. Cakap le, saya dengar ni, dengan wajah selamba tanpa memandang ke arah ku dia memberi reaksi.

Saya nak minta maaf pada Lina, betul kata Lina tu. Selepas saya fikir-fikirkan apa yang Lina cakap pagi tadi, baru saya perasan yang selama ini saya tidak adil pada Lina. Maafkan saya ya.

Lina cuma senyum, senyumannya manis namun perwatakan kelakar dan keanak-anakkan tetap terserlah di wajahnya. Untuk pertama kalinya aku menerima senyuman itu seadanya. Aku ingin menjadi orang yang adil. Tidak lagi memandang rendah pada apa yang Lina ada. Walaupun Lina macam kartun tapi dia juga punya hati dan punya perasaan. Tentu dia juga ingin dihargai. Itulah rumusan dari apa yang ku fikirkan sejak dari pagi.

Saya tak kesah kalau encik tak adil, cuma saya pernah dengar kalau hari ini kita tak adil, nanti Tuhan akan balas ketidakadilan kita tu. Masa tu kita pelik kenapa orang buat aniaya pada kita sedangkan kita tak buat salah apa pun masa tu.

Mak saya kata, hari ni kita tak adil pada orang di bawah kekuasaan kita, nanti orang lain di luar kekuasaan kita pula akan berlaku tidak adil pada kita. Mukanya serius, nada suaranya selamba dan dia tunduk memandang jari jemarinya sewaktu mengucapkan kata-kata hikmah penuh firasat itu kepada ku.

Memang ianya kata-kata hikmah buatku. Belum pernah pekerja bawahan mahu pun rakan sekerjaku seberani itu, seselamba itu menegurku. Awek cun dan kawan-kawan sekerjaku yang lain cuma mengiyakan sahaja apa yang ku katakan pada mereka selama ini.

Awek cun pula, senyum manisnya, geleknya, manjanya dan bijak berkata-katanya itu membuatkan aku mengiyakan sahaja apa yang dipintanya dari ku. Alasannya bila datang lambat pun aku mudah terima sedangkan kalau Lina yang lambat selalu ku marahi.

Ini semua kerana Lina macam kartun perangainya, wajahnya pun kurang cantik. Sikapnya pula terlalu selamba tak romantik langsung. Hampir saja dia tidak memiliki ciri-ciri wanita yang feminin.

Firasat Lina terhadap ku benar belaka. Rupa-rupanya tanpa aku sedari, aku telah bersikap membezakan-bezakan rakan sekerja hanya kerana pembawakan dan rupa paras mereka. Aku telah tidak profesional rupanya. Seharusnya "judgment" aku terhadap rakan sekerja mestilah bersandarkan pada kualiti dan hal-hal berkaitan dengan kerja sahaja. Kenapa pula rupa paras dan sikap pandai mengambil hati, aku campurkan sekali. Inilah kesalahan yang telah aku lakukan selama ini tanpa aku sedari yang ianya salah sekaligus telah mengecilkan hati Lina selama ini.

Lina maafkan saya ke tidak ni ? aku bertanya mengharapkan kepastian bila ku lihat Lina masih berdiam selepas mengungkapkan falsafah tentang keadilan itu tadi.

Saya maafkan walaupun sebetulnya saya tak marah pun pada encik. Lina bangun sambil menyorongkan kerusinya ke bawah meja. Saya balik dulu encik.

Terima kasih Lina. Janji tau esok Lina datang dengan pandangan baru terhadap saya. Saya akan ajar Lina dan saya juga akan adil sedaya yang boleh. Maafkan saya sekali lagi. Aku senyum dan Lina mengerak-gerakan jarinya melambai aku sambil menuju ke pintu keluar pejabat.

Jalannya tidak bergelek, jalannya terlantun-lantun, kejong tidak feminin langsung tapi aku sedar kini  dia berhati mulia dan aku pula mesti menghargai ketulusan hatinya menegur silapku selama ini.

Yang berani menyatakan yang benar itulah sepatutnya dibuat kawan. Persepsiku terhadap Lina kini benar-benar telah teranjak paradigmanya.

Lina bukan lagi awek kartun, malah kalau dia sudi, aku ingin mempelawanya minum petang bersama. Masih banyak lagi yang ingin ku tanyakan darinya.

Firasat oleh To'ki

3 comments

  1. Cheqna // February 10, 2011 at 11:41 PM  

    Sebenarnya beruntung jika ada orang2 seperti Lina tu di sekeliling kita...dapat peringatan atas kealpaan kita.

    dan mungkin itu tandanya kita disayangi-NYA, insyaAllah..

    :-)

  2. Hati Curio // February 11, 2011 at 6:02 PM  

    untungkan tapi tengok juga, kalau yg sudi terima okey, kalau yg melenting, huru-hara endingnya :)

  3. Umihoney // February 13, 2011 at 7:01 PM  

    Ubat jarang yang manis :)

Labels