Pulang dari kerja aku terus ke rumah Nek Jah. Pejabat aku bekerja berhampiran sangat dengan stesen bas Segamat. Menyeberangi lintasan keretapi di sebelah stesen bas, aku melalui denai di mana jalannya berbukit sedikit. Berjalan kaki sepuluh minit aku sampailah di rumah Nek Jah.

Aku memang kerap ke rumah Nek Jah selepas pulang dari kerja. Nek Jah sebetulnya ibu kepada isteri bapa saudara ku, bukanlah nenek betul ku, namun keluhuran budi dan ketulusan hatinya telah menambat sayang ku pada pada Nek Jah seperti nenek ku sendiri.

Petang ini aku datang dengan hajat. Sudah lama aku berhajat untuk bertanyakan cerita perihal Nek Ros, jiran merangkap kawan baik Nek Jah yang ku lihat pelik sedikit kelakunya.

Nek Jah memang rajin bercerita pada ku tentang masa silamnya, tentang kesah-kesah dulukala. Aku pula memang suka berborak dan mendengar cerita dari orang lama. Cuma aku sedikit hairan kenapa Nek Jah tak pernah buka mulut untuk bercerita tentang kesah hidup Nek Ros sedang perkara pelik yang ku lihat itu berlaku sewaktu Nek Jah ada bersama.

Ah ! Rahim, masuklah. Nenek tunggu juga kau, semalam nenek tunggu kau tak datang. He he aku senyum, rupanya Nek Jah juga tertunggu-tunggu kedatangan ku. Mungkin dia sudah terbiasa dengan kehadiran ku, sedikit sebanyak mengubat kesuyiannya bila mana aku pula memang rajin berborak.

Nek, nak tanya sikitlah, boleh ke ? Aku mula meluahkan hajat hati selepas menghirup kopi yang dihidangkan. Tanyalah, apa salahnya, balas Nek Jah. Emm ni lah, berkenaan perangai pelik Nek Ros tu, saya minta maaflah dan kalau nenek rasa tak nak cerita pun tak apa, saya faham, dia kawan baik nenek.

Sepatutnya nenek tak boleh cerita, itu aib orang tapi kalau Rahim ikhlas hendak tahu untuk di buat sempadan bolehlah nenek ceritakan sikit, ujar Nek Jah sambil tersenyum lembut. Dalam hatiku berkata, lawa juga nenek aku ni kan, agaknya masa muda -muda dulu entah macam mana cantiknya.

Orang kata; perangai, kelakuan dan kegemaran masa muda selalunya akan datang semula bila kita mula menua dan fikiran makin kurang. Apabila usia meningkat tua, perasaan makin kuat mempengaruhi kita berbanding fikiran yang makin lemah. Ada masanya peristiwa yang sudah lama berlaku, kita rasa seolah-olah semalam baru berlaku, Nek Jah memulakan ceritanya dengan teori yang makin buat aku tidak sabar untuk mendengar cerita selanjutnya.

Nek Ros tu dulu ligat masa mudanya, ni yang nenek dengar lah. Ke sana sini bertukar pasangan. Dia cantik, sekarang pun masih nampak lagi cantiknya tu. Itulah puncanya Rahim tengok dia mengepak-gepak tangan nya macam kupu-kupu terbang . Dia teringat balik keseronokan yang dia pernah lalui masa mudanya dulu. Kadang-kadang dia bersedih, ialah dia tahu tu semua dosa silam yang dia pernah buat. Nenek dah nasihatkan dia, buat apa dikenang lagi benda tu semua, kita solat dan minta ampun saja lah dari Tuhan,

Sambil Nek Jah bercerita, aku mula terbayangkan apa yang Nenek Ros lalui. Aku mula berfikir kenapa pula dia boleh jadi begitu sedangkan biasalah pada ku orang muda berseronok, orang lain pun begitu juga, nama pun orang muda.

Kenapa dia jadi macam tu berkepak-kepak seperti kupu-kupu nek, orang lain pun enjoy juga masa muda tak jadi macam tu pula, aku mencelah cerita nek Jah.

Nenek Ros sudah berkawin masa tu namun dia masih lagi keluar dengan lelaki lain, anak-anak dia tak kesahkan langsung. Suaminya lah yang jaga anak-anak, yang buat susu anak, Nek Ros asyik nak melawa je, Suaminya ditipunya hidup-hidup, kononnya temankan adiknya beli barang dan macam-macam alasannya lagi, sedangkan sebetulnya dia keluar dengan lelaki lain. Masa tu dia mewah. Apa dia buat di luar nenek tak tahu lah, tapi orang kampung mengutuk dan bercerita macam-macam, hinga ada yang menuduh Nek Ros telah ilmukan suaminya. Entahlah Rahim, tu cerita orang, nenek tak tahu yang sebenarnya. Cuma ingat lah ada masa muda tentu ada masa tua. Nek jah mengakhiri ceritanya yang begitu ringkas dengan nasihat kepada ku.

Terima kasih nek ingatkan saya. Kesian juga saya tengok Nek Ros tu. Saya tanya bukan apa, pelik perlakuannya pada mata saya. Dia berkepak-kepak macam kupu-kupu, dia datang cuit saya dan disebutnya kupu-kupu terbang, Bila saya tanya apa nek cakap tak berapa jelaslah, nek Ros ulang balik, kupu-kupu, kupu sambil berlari-lari anak kat depan rumah nenek ni. Lepas tu dia datang dekat saya dan cakap lagi, aku dulu terbang sana, terbang sini bawak dek jantan, aku lawa masa tu. Seronok tau..Aku lawa tak ? Nek Ros tanya saya pula lepas tu. Kemudian saya tengok,muka dia macam sedih je. Belum sempat saya tanya kenapa, dia cakap, dulu kulit aku tak kedut macam ni, aku lawa tau dan diulangnya lagi bergaya seperti kupu-kupu.

Anak-anak dia di mana nek ? Aku bertanya pada Nek Jah, terfikir pula di benak ku ini kenapa anak-anaknya membiarkan ibunya sendirian begitu.

Dulu dia tinggal dengan anak-anaknya, tapi maklumlah orang pangkat besar, bila kawan-kawan datang tengok ibunya macam tu, dia orang mula malu. Tu yang dihantar ibunya pulang ke sini. Anaknya yang sorang lagi tu langsung tak kesah nak jengok ibunya, dengar cerita merajuk sebab ibunya dulu tak kesahkan dia.

Entah lah Rahim, bila cerita tentang orang lain mudah kita menghukumnya, kalau diri kita yang kena mungkin lain pula alasan yang kita beri. Tapi nenek rasa ini semua balasan dari Tuhan atas apa yang dia pernah buat dulu. Eh minum lah air tu, kang sejuk pula, nek Jah menegur ku yang asyik mendengar ceritanya.

Insaf juga saya dengar cerita nenek ni, saya pun pernah dengar orang kata, apa yang teruk kita buat masa muda, nanti bila dah tua dan fikiran kita sudah mula kurang, semua yang dulu tu akan datang semula mengimbau di fikiran kita. Kalau kita suka marah-marah, nanti dah tua kita akan suka marah-marah. Betul ke nek, aku bertanya pada nek Jah yang sedang menambah kopi ke dalam cawan ku.

Betul lah tu..biasa nenek tengok begitulah. Kau dah solat ke Rahim, dah pukul 6.30 ni, tiba-tiba nek Jah bertanyakan soalan tentang solat kepada ku.

Alamak, nasib nenek ingatkan saya, belum lagi ni. Aku bingkas bangun ke bilik air. Dalam hati aku insaf dengan cerita nek Jah tu, biasa macam tu lah baru lepas dengar memang insaf, esok lusa tak tau lagi. Harap aku tak lupa.

Ada masanya aku kesian juga melihat nek Ros yang kesepian tinggal sendirian menghayalkan masa mudanya. Jelas kelihatan ralat di hatinya dengan masa yang berlalu. Mungkin dia berharap masa mudanya kekal untuk selama-lamanya agar dia sentiasa boleh terus terbang bebas menikmati keseronokan hidup diulit sanjungan dan pujian jantan yang mengharap keindahan tubuhnya.

Sewaktu aku melangkah pulang dari rumah Nek jah, dalam kesamaran senja, ku lihat nek Ros di halaman rumahnya sendirian merenung kehadapan dengan tangan yang didepakannya. Sesekali dia mengepak-gepakkan kedua-dua belah tangannya.

Kupu-kupu terbang lagi cuma kini sendirian terbangnya melagukan nada sedih mengenangkan masa muda yang tak mungkin akan kembali.

Betulkan, hari muda pasti pergi, Hari tua tak lama lagi.

5 comments

  1. Cheqna // February 9, 2011 at 12:29 AM  

    Salam..

    Kesian...Betul cerita ni?

    tapi apa2 pun boleh dijadikan iktibar kepada kita supaya menjaga tingkah laku semasa muda agar jika dipanjangkan umur, kita tidak diduga atau diberi balasan yang tidak sempurna..

  2. Hati Curio // February 9, 2011 at 5:00 AM  

    Sedih jugakan, ngeri pun ada, harap-2 dah tua nanti selamatlah hendaknya kita semua dalam menanti waktu-waktu dipanggil pulang. sendiri tulis sendiri ngeri :)

  3. Cheqna // February 9, 2011 at 11:54 PM  

    InsyaAllah, didoakan pengakhiran yg baik..amiin.

    :-)

  4. HaSue // February 10, 2011 at 11:27 AM  

    ni nek jah yg amoi lari aritu ke?hehe...
    agaknya betul la sifat masa muda terbawa2 kembali bila dah tua nanti kan.hurmm..jap pk apa perangai sendiri masa muda niih..hee

  5. Hati Curio // February 10, 2011 at 1:42 PM  

    aha same kot..kite pun tengah pk ni, ape perangai kite ..kalau suka fb, dah tue sok mcm mana ek, chu, bagi la atok pinjam laptop jap, atok nak reply mesed kawan atok :)

Labels