Anakku,

Ingin ibu riwayatkan kepadamu tentang sebahagian dari kesah keujudanmu di muka bumi Tuhan ini. Engkau telah lupa semuanya. Bukan salah mu nak, memang sifat kita manusia pelupa. Namun hari ini ibu cuba ceritakan semula agar kau tahu tanggungan ibu sewaktu melahirkan mu.

Ibu mengandungkan mu selama sembilan bulan sepuluh hari. Di awalnya ibu selalu mual-mual dan muntah-muntah. Pinggang mula sakit-sakit. Namun ibu amat gembira di saat itu, tertunggu-tunggu ibu penuh sabar hari kelahiranmu.

Hari berganti minggu, bulan pun hadir, perut ibu makin membesar. Kulit perut ibu makin menegang membawa rasa tidak selesa yang amat sangat. Kehulu kehilir ibu bawa kau ke mana jua ibu pergi. Kaki mula lengguh-lengguh. Botol minyak angin hampir suku tinggal bakinya. Namun ibu rela dan tetap akan rela dengan tanggungan itu semata-mata untuk kau anakku, zuriat ibu bersama ayahmu yang bakal mewarisi kehidupan dan tanggungjawab di masa depan.

Sebanyak mana pun minyak angin disapu, lengguhnya tetap tinggal di kaki ibu. Ibu tetap tabah tidak keluh kesah. Bulan makin bertambah, perut ibu mula memboyot. Gadis berpinggang ramping dulunya kini umpama buyong, jalannya terkengkang-kengkang buat mengimbangi pembesaran mu di dalam perut ibu. Kini jelita dan ayunya ibu tinggal nama saja. Untuk mu anak segodang mana perut ibu, itu tidak menjadi hal. Asal saja kau selamat dilahirkan.

Bila kau mula bergerak-gerak di dalam perut ibu, terasa sakit dan bisanya. Ibu senyum melihat pergerakan mu yang makin jelas kelihatan di perut ibu yang merening itu. Harapan ibu cuma satu, agar kau sihat dan selamat dilahirkan. Besar nanti menjadi Ali penegak kebenaran dalam agama. Jika kau perempuan menjadi wanita mulia penyambung warisan Fatimah.

Kau anak ku darah dagingku, makan minum mu dari saluran di tembuni ibu. Apa ku makan itu lah khasiat buat mu. Ibu mesti menjaga makan minum agar kau sihat di dalam perut. Mengidam ibu nak makan itu dan ini. Ada masanya dapat, dan ada masanya tidak begitu bernasib baik. Tak apalah rezeki tentunya di tangan Tuhan.

Masa sudah hampir untuk kau dilahirkan. Sakit di pinggang tak terkira. Dalam hati rasa takut memang ada. Bakal menyabung nyawa demi kelahiran mu. Kata orang, sakit melahirkan itu kedua sakitnya selepas sakit sakaratul maut tapi tak mengapa, ibu tetap tabah menempuhnya demi kasih dan sayang ibu kepadamu.

Putus-putus urat kecil meneran di saat melahirkan mu. Peluh membasahi dahi meneran sedaya yang mungkin agar kau segera dilahirkan. Hilang tenaga tak terdaya rasa namun bila saja mendengar tangisan mu, gembiranya tak terkira hati ibu. Ingin segera ibu tahu lelaki kah perempuan. Dua-duanya ibu suka dan terima dengan rela.

Ada para ibu yang mati di saat melahirkan anak akibat tumpah darah. Ada yang berhari menanggung sakit akibat uri melekat. Ada ibu yang meroyan selepas anak dilahirkan. Ini semua risiko yang para ibu harus tanggung. Tapi tanyalah wanita mana pun semuanya masih ingin punya anak biar sebesar mana derita dan akibatnya bakal ditanggung.

Kini kau sudah besar. Bagi mu semuanya nampak mudah. Hanya para ibu yang tahu sakitnya yang harus ditanggung. Seperti mati hidup semula.

Ibu ceritakan ini bukan minta kau bersedih. Bukan minta dibalas dengan wang ringgit mu. Cuma ibu harap kau tahu ini semua untuk kebaikan mu.

Agar kau insaf dan tidak derhaka kerana syurga mu di bawah telapak kaki ibu.

Jika berkata eh pun tidak dibenarkan Tuhan, apatah jika lebih dari itu. Bukan pinta ibu tapi ketentuan Tuhan buat semua anak termasuk ibu.

Jasa Ibu oleh Warisan

makan minum dari saluran di tembuni ibu


memang sifat kita manusia pelupaMinggu 39

2 comments

  1. Sky Before Pinky // March 29, 2011 at 10:11 AM  

    hebat cerita nie..boleh tak saya nak share dalam blog... kalau kesempatan ingin dikongsi di fb juga.. reply di blog saya eak..

    thanks alot.

  2. Hati Curio // May 9, 2011 at 5:19 AM  

    boleh, no problem punyo..time kaseh ek sudi hadir dan sharing..:)

Labels