Hayunan geleknya yang lembut dan berskala tetap sewaktu berjalan memang sudah lama menjadi perhatian pengunjung gerai makannya itu. Ralit mata memandang setiap kali Cik Yah bergelek. Bak primadona ronggeng menghayunkan punggungnya mengikut alunan irama ronggeng, begitulah setiap kali Cik Yah melangkah. Hayunan pinggulnya tersusun cantik bagai berentak ke kiri kanan dan lembut pula, tak ubah seperti gelek dan hayunan pinggulnya penari ronggeng yang mengikut rentak dan pukulan gong, lembut dan sempurna.

Ramli hanyut dan khayal dalam melayan fantasi dengan matanya mengikut segenap langkah Kak Yah yang begitu sibuk melayan pelangan. Tambahan pula dengan kebaya singkat dan kain sendat melekap umpama nangka berbalut menunggu ranum, mata siapa tidak menjeling. Kak Yah bertubuh kecil tapi berisi orangnya. Sudahlah kulitnya putih gebu, pandai pula mengayakan pakaian. Ada masanya Ramli lihat yang berjalan di hadapannya itu bukanlah lagi Kak Yah tokei warung tetapi peragawati yang sedang mengayakan pakaian.

Sesekali tertentang mata dengan teman-teman yang turut sama makan di situ, berlari-larilah anak mata masing-masing memandang ke arah lain. Mahu tapi malu, perasaan segan masih ada rupanya di hati masing-masing.

Memang itu pun sebahagian pelaris yang Kak Yah gunakan dalam berniaga di gerai makannya itu. Tak heranlah majoriti pengunjung gerai Kak Yah adalah lelaki tidak kira usia. Golongan veteran juga tidak mengalah jumlahnya.

Ramli sudah berusaha berbagai cara untuk mengambil hati Kak Yah. Bekerja sambilan di sebelah malam memudahkan Ramli untuk memancing hati Kak Yah. Hajatnya besar cuma tidaklah sampai untuk memikul tanggungjawab. Ramli sudah beristeri dan punya dua orang anak. Dia hanya berhajat agar semuanya diperolehi dengan kerelaan Kak Yah tanpa perlu mereka bergelar suami isteri.

Kak Yah memang mesra, peramah dan jenis orang yang tak kesah. Setakat bertepuk tampar dan tergesel-gesel biasa. Namun hajat Ramli lebih dari itu. Status Kak Yah yang sudah sepuluh tahun membujang semula itu menambah lagi yakinnya hati Ramli akan hajatnya pasti berhasil. Bagi Ramli dia hanya perlu bersabar dan bijak memasang umpan.

Bertambah bersemangat lagi bila kawan-kawan rapatnya makin mencabar. Apalah kau Ramli, kalau aku lama sudah aku dapat Kak Yah tu. Itulah antara ayat-ayat yang diulang cakap oleh kawan-kawannya setiap kali mereka berborak tentang Kak Yah.

Hari demi hari melayan fantasi di dalam kepalanya sambil diulit hayunan ronggeng Kak Yah, semakin tidak sabar pula Ramli rasakan untuk mendapat apa yang diimpikannya itu.

Namun Kak Yah masih belum menunjukkan reaksi seperti yang diharapkan. Sering saja Kak Yah mengelak setiap kali Ramli cuba bercerita tentang perasaan dan borak-borak yang diselitkan unsur sek. Kadang-kadang sengaja Ramli mengunakan perkataan yang membawa dua maksud. Kak Yah pula memberi reaksi sebaliknya, seperti wanita yang tidak faham dan tidak berpengalaman dalam hal begitu.

Ada masanya pula Ramli merasakan yang Kak Yah melayannya seperti orang lain seolah-olah tiada apa yang istimewa untuk dirinya. Bukan setakat dengan Ramli sahaja Kak Yah bertepuk tampar bila bercakap, dengan Pak Mat Tempe pun Kak Yah bertepuk tampar kena pula bila Pak Mat Tempe melawak. Ada masanya hingga menimbulkan rasa cemburu di hati Ramli. Miang betul orang tua ni, bisik hati Ramli setiap kali melihatkan Pak Mat tempe melawak. Kak Yah pula naik sakit perut tergelak. Meluat betul Ramli tengok Pak Mat Tempe melawak,risau pun ada. Manalah tahu tersangkut pula hati Kak Yah pada Pak Mat Tempe nanti.

Apa lagi aku nak usahakan ni, macam-macam aku dah buat, tolong dia berkedai, angkat barang-barang dan temankan dia pulang sampai lewat malam. Tapi dia buat tak tahu juga, Ramli duduk termenung memikirkan dan menganalisa usahanya selama ini. Apa lah payah benar Kak Yah ni. Sebetulnya Ramli pernah mencuba-cuba memegang tangan Kak Yah sewaktu mengambil hidangan dari Kak yah untuk di hantar ke pelanggan di meja makan. Kak Yah dengan muka berkerut selamba menarik tangan seperti orang terkejut.

Jangan-jangan dia baik dengan aku selama ni sekadar umpan agar aku terus menolongnya di kedai. Sudah banyak kali Ramli terfikir begitu namun akhirnya dia sendiri yang melenyapkan pemikiran sebegitu jauh-jauh bila saja kak Yah tersenyum simpul memandangnya. Kak Yah pula pandai mengambil hati Ramli. Berbagai pujian Kak Yah berikan pada Ramli sebelum menyuruh Ramli buat sesuatu. Sentuhan dan pujian Kak Yah terhadapnya terus membuatkan hati Ramli cair mentelah pula dia sendiri begitu berhajatkan Kak Yah.

Sebetulnya apa yang Ramli fikirkan selama ini tentang betapa mudahnya mendapatkan hajatnya dari Kak Yah dipengaruhi oleh idea dari cerita-cerita lucah yang sering di tontonnya bersama-sama anak muda kawan sekampungnya juga.

Sejak akhir-akhir ini, Ramli makin kerap menonton video lucah. Di rumah kawan-kawan bujangnya Ramli hanya perlu mencari vcdnya sahaja, lain-lain peralatan sudah tersedia. Budak-budak bujang itu pula suka setiap kali Ramli datang, lebihan makanan yang Kak Yah bekalkan biasanya sebahagiannya langsai di rumah kawan-kawan bujangnya itu. Sambil menyantap makanan percuma, mata masing-masing tertumpu ke kaca televisyen melihat cerita terlarang yang Ramli juga sediakannya. Abang Ramli ni bestlah, abang Ramli ni sportinglah, itulah kata pujian anak muda kawan-kawannya itu yang membuatkan Ramli tak segan silu untuk bertandang ke rumah mereka pada bila-bila masa demi memenuhi hajatnya menonton cerita terlarang itu. Ramli pula tak kesah keluar modal beli vcd, baginya inilah yang dikatakan "win win situation".

Apa yang anak-anak muda itu lihat di kaca telivisyen sebenarnya tidaklah sama dengan apa yang Ramli lihat. Apa yang mereka lihat adalah lelaki dan wanita yang tidak mereka kenali melakukan adengan yang memberangsangkan naluri lelaki mereka. Ramli pula melihat pelakun yang sama cuma wajah-wajah di dalam lakunan itu berwatakkan dirinya sendiri dan Kak Yah. Fantasi Ramli sudah mula menjangkau jauh hingga kepada adengan ganas dia bersama Kak Yah kesan dari kegemarannya menonton filem terlarang itu.

Di rumah Kak Yah sedang bersiap-siap untuk pergi ke Gerainya. Kau ni Yah, janganlah pakai melampau macam tu. Mak dah muak dengar mulut orang kampung ni cerita pasal kau. Ibu Kak Yah yang tinggal serumah dengannya sejak Kak Yah membujang semula mengingatkan Kak Yah. Bukan sekali, malah berkali-kali ibunya mengingatkan Kak Yah. Kak Yah tetap seperti itu juga. Tidak dilawan cakap ibunya tetapi tidak juga dia mengikuti akan nasihat ibunya itu.

Mak bukan apa Yah, mak risaukan kau tu. Bukan semua lelaki baik hatinya. Kau tak baca surat khabar ke, Tanya ibu Kak Yah pula. Ada yang sanggup merogol, pasal dek geram sangatlah tu. Tu yang mak risaukan. Kau jagalah kehormatan diri kau tu. Orang kampung heboh dah bercakap yang kau mengoda suami dia orang. Kejap-kejap nak gi kedai Yah, balik je kerja dah nak keluar lagi, minum teh di kedai Yah. Lagi pun mak tengok si Ramli tu kalau mandang kau macam nak ditelannya je. Kau tak risau ke Yah, Wan Limah terusan menasihati Kak Yah yang sedang sibuk melengkapkan dirinya dengan solek dan pakaian pelaris gerai makannya itu.

Kau dengarlah sikit nasihat mak ni, Wan Limah menyambung nasihat ikhlasnya itu. Nasihat dari seorang ibu yang sudah lama makan garam dan faham adat resam manusia lelaki dan perempuan itu. Wan Limah tak jemu-jemu menasihati anaknya itu walaupun dia tahu semuanya masuk telingga kiri dan keluar telinga kanan.

Mak jangan risaulah, tahulah Yah jaga diri, balas Kak Yah bila dilihat ibunya termenung jauh risaukan dirinya. Ramli tu tak da apalah mak, susah juga Yah kalau dia tak tolong. Pagi-pagi ke pasar dia, petang nanti dia jemput Yah dan bawa barang untuk berjual di gerai. Malam pula sampai bersih dia kemaskan gerai. Mak tak suka ke ada orang yang sudi nak tolong Yah. Pandang macam tu biasalah mak, haji Dali tu pun terjeling-jeling bila Yah lalu, inikan pula setakat iman macam si Ramli tu. Puasa pun tak pernah. Yah gi dulu ya mak, Kak Yah mencium dahi ibunya sebaik sahaja kedengaran hon kereta Ramli yang datang menjemputnya.

Lawanya kak Yah, puji Ramli sebaik sahaja Kak yah masuk ke dalam kereta. Dari turun tangga hinggalah Kak Yah masuk ke kereta tak berkelip mata Ramli melayan gelek ronggeng Kak Yah tu. Betul ke lawa,balas Kak Yah. Selain dari pelaris, Kak Yah juga sebetulnya banga setiap kali dilihatnya ada mata-mata lelaki yang menyorot ke seluruh tubuhnya. Terasa dirinya masih bergetah dan dihargai oleh lelaki-lelaki itu.

Sambil memandu, sesekali Ramli menjeling ke arah Kak Yah. Kak Yah pula sengaja membiarkan kain belahnya itu terselak. Memang sudah ada tugas untuk Ramli malam nanti. Setiap malam rabu dan khamis, Ramli lah yang akan di suruh oleh Kak Yah untuk menghantar dan menjemput anak-anak kak Yah pergi dan balik dari tiusyen.

Kak Yah sedar sebenarnya akan setiap jelingan dan sentuhan Ramli terhadapnya. Dia tahu Ramli sengaja tergesel-gesel dan adakalanya terlanggar punggungnya. Bagi Kak Yah apalah nak dikesahkan sangat. Bukan luak pun tubuhnya setakat tergesel-gesel begitu. Lagi pun Ramli tidak pernah menunjukkan sikap yang ganas terhadapnya. Setiap kali terlanggar pasti Ramli meminta maaf. Bagi Kak Yah memang itu pun dia harapkan. Memancing Ramli agar terus setia membantunya berkedai. Bukan percuma, upahnya lumayan, cukup untuk Ramli menanggung keluarganya.

Dalam perjalanan pulang dari memborong persiapan yang kurang untuk berjual di petang itu, Ramli asyik terfikirkan kata-kata Kak Yah kepada ibunya di rumah tadi. Hampanya juga hati Ramli bila mengingatkan kata-kata kak Yah itu tadi. Oh betullah apa yang aku fikir selama ni, Kak Yah cuma mengunakan aku untuk membantu dia berkedai. Ramli dengar apa yang Kak Yah bualkan dengan ibunya tadi. Ramli sampai awal sewaktu menjemput Kak Yah tadi dan bila tiada siapa yang menyahut salamnya. Ramli pun terus ke bahagian tepi rumah untuk memberi salam. Belum sempat dia mengucapkannya, terdengar oleh Ramli leteran ibu kak Yah. Ramli terus memasang telinga.

Kecewa ada, marah pun ada, namun sesampai di gerai, Ramli tetap seperti biasa. Suaranya tetap lembut melayan setiap arahan Kak Yah. Sesekali Ramli duduk berehat namun matanya tetap tidak lekang dari memerhatikan Kak Yah. Di dalam kepala, di dunia fantasinya Ramli mula menganas. Dia kecewa di perlakukan sebegitu rupa oleh Kak Yah. Kali ini tiada lagi adengan romantik di dalam fantasinya. Yang ada hampir sama semuanya dengan video terlarang yang selalu di tontonnya itu. Lengok kak yah dilihatnya tak ubah seperti hayunan punggung penari ronggeng yang dilihatnya di kelab dangdut bila sesekali dijemput khas untuk menghiburkan pengunjung kelab tersebut. Suasana sepi, mata lelaki-lelaki di kelab itu tak berkelip melayan hayunan lemah gemalai wanita berkain sendat sambil di iringi gendang yang mengasyikkan.

Kak yah juga perasan akan kelainan Ramli setiap kali mata mereka bertembung. Kak Yah cuma senyum. Dalam hatinya itu tandanya Ramli akan tetap setia menjadi orang suruhannya demi kemudahan dia menjalankan perniagaan gerai makannya itu. Idea ini pun bukan datang sendiri. Kak Yah mendapat ilham ini dari anak buahnya yang bekerja di bandar. Helmi sering bercerita tentang amoi-amoi yang datang ke tempat kerjanya sebagai jurujual. Sengaja mereka berpakaian seksi sebagai alat untuk memudahkan mereka menjual barangan yang di bawa. Khayal Mak Yah pegawai-pegawai bahagian belian tu bila duduk depan amoi-amoi tu. Dengan baju terdedah di dada dan skirt pula paras ni, bersungguh-sungguh Helmi menceritakan sambil mengayakan dengan tangannya.

Hidupkanlah enjin tu, dah siap semuanya, tunggu apa lagi, tegur Kak Yah bila di lihatnya Ramli termenung memegang stering kereta. Ramli letih sangat ke ? tanya Kak Yah bila di lihatnya Ramli diam tak ceria seperti selalu. Aha, letih sangat rasanya hari ni, cuaca pun panas terik petang tadi, ujar Ramli yang tersandar sambil tangannya lurus memegang stering kereta. Kita ikut jalan pintas boleh Kak Yah, saya tak larat sangat rasanya ni. Ujar Ramli lagi. Ikutlah tapi hati-hati tau, jalan tu tak rata dan ada lubang, Kak Yah bersetuju walaupun dia risau sebetulnya untuk pulang melalui jalan pintas itu. Jalannya agak sunyi dan tidak rata pula. Namun dia juga berasa kasihan melihatkan Ramli yang kelihatan begitu letih dan mengantuk.

Suasana agak gelap dan pergerakan kereta pula terhenjut-henjut dek jalan yang tidak rata itu. Suasana agak gelap akibat rimbunan daun getah dan dahannya yang bertaut di atas membentuk bumbung yang melindungi cahaya bulan yang kerapkali pula di tutupi awan tebal. Ramli lebih memerhatikan Kak yah dari memandang kehadapan.

Tiba-tiba Ramli menghentikan kereta di dalam gelap malam itu. Kenapa Ramli ? tanya Kak Yah yang terkejut apabila kereta terhenti secara mengejut. Ramli memalingkan tubuhnya menghadap Kak Yah sambil cuba memegang tangan kak Yah. Apa ni Ramli. Meninggi suara Kak Yah sambil merentap tangannya. Belum sempat Ramli berbuat apa-apa Kak yah terus membuka pintu kereta dan berlari menuju ke dalam ladang getah. Kak Yah sedar apa yang dikatakan oleh ibunya petang tadi kini sedang berlaku ke atas dirinya. Kak yah tahu dia mesti segera bertindak, andai terlambat habislah dirinya dikerjakan dek Ramli.

Namun apa yang telah difikirkan selama ini tidak semudah yang disangkakannya. Puas sudah rasanya dia berlari sepantas yang mungkin sambil menyelak tinggi kain dan berkaki ayam sahaja, namun setiap kali dia menoleh kebelakang Ramli begitu hampir kepadanya. Di tangan tergengam erat kerambit kecil yang sememangnya Kak Yah buat sebagai pengikat sanggulnya. Itu semua memang Kak yah telah siapkan untuk mempertahankan dirinya.

Kak Yah tahu hidup sendirian dengan gaya sepertinya itu, dia mesti bersedia. Kak Yah juga tahu ronggengnya itu memang bisa buat lelaki hilang akal. Namun itu semua hanyalah keperluan bagi dirinya untuk menyambung hidup bersama lapan orang anak tanpa suami yang telah pun pergi meninggalkannya terlebih dulu. Kampung yang jauh di pendalaman, apa lagi ikhtiarnya untuk mencari rezeki dan menyekolahkan kelapan-lapan orang anaknya itu. Suaminya pula cuma meninggalkan sebuah motor buruk yang hampir tercabut enjinnya. Kedai makan pula tersedia di segenap penjuru jalan kampung. Tanpa pelaris hayunan gelek ronggengnya itu siapa yang sanggup berbatu jauhnya terenjut-enjut menaiki motor di atas jalan tanah merah ke kedainya untuk minum petang dan makan malam.

Kak yah tak daya lagi untuk berlari. Dia berhenti tercunggap-cunggap sambil membongkong mengiring menyedut udara. Ramli berdiri menghadapnya dari arah kanan juga tercunggap-cunggap. Tak disangka oleh Ramli yang Kak yah begitu pantas berlari. Andai lelaki lah yang sedang dikejarnya itu hampir pasti tak terdaya dia mengejarnya.

Mengucap Ramli, jangan buat macam ni, kau menyesal nanti. Ingat anak bini kau Ramli. Siapa yang nak tanggung mereka nanti. Jerit Kak Yah, dia amat berharap agar Ramli sedar di saat itu. Ah, Kak yah ingat saya bodoh nak lepaskan Kak Yah begitu saja. Aku janji Ramli aku tak akan beritahu sesiapa pun, kau pergilah, apa yang kau buat ni akan merugikan bukan sahaja aku tapi anak isteri kau Ramli, ujar Kak yah lagi dalam suara tersekat-sekat dek nafasnya yang masih mencungkap itu. Ramli melangkah menghampiri Kak Yah sambil tergelak. Sudahlah Kak yah, hanya kita berdua di sini. Lagi pun selesai nanti tentu Kak Yah akan menerima seadanya apa yang berlaku. Ha ha.. Ramli terus ketawa dan kakinya melangkah ke arah Kak Yah yang masih terbongkok itu.

Segala yang dilihatnya di video lucah selama ini benar-benar telah mempengaruhi pemikirannya. Adegan wanita yang menyerah diri di saat di paksa benar-benar menjadi keyakinan dalam diri Ramli yang Kak Yah juga akan jadi begitu. Seperti kanak-kanak yang asyik menonton cerita spiderman bergaduh tentang ujud atau tidak sebenarnya spiderman itu di dunia realiti. Ada yang begitu bersemangat memepertahankan keyakinannya bahawa spiderman itu sebenarnya ujud. Begitu juga Ramli yang sudah terkeliru di antara realiti dan fantasi. Disangkanya apa yang dilihat di kaca televisyen itu, begitulah keadaan sebenarnya. Ramli percaya apabila mula terasa nikmat, Kak Yah pasti akan menyerah dan akan menjadi hamba memuaskan keinginannya seperti di dalam cerita terlarang yang selalu ditontonnya itu.

Jangan Ramli, jerit Kak yah bila saja dilihatnya Ramli makin dekat dengannya. Dalam langkah yang berhati-hati itu, tiba-tiba Ramli menerkam Kak Yah yang sedang tunduk terbongkok itu. Ramli sangat terkejut. Darah memancut dari lengan dan di dada Ramli. Pisau kerambit yang digengam erat oleh Kak Yah menepati sasaran sebaik sahaja Ramli cuba memeluknya. Ramli menekap lengannya yang berlumuran darah itu. Dadanya pedih tak terkira. Tersentak Ramli dari angan-angan dan impiannya. Lain yang dibayangkannya lain pula yang jadi. Ramli terduduk sambil menahan kesakitan.

Kak Yah mengambil kesempatan itu dan berlari semula ke arah dari mana dia datang tadi.

Malam itu heboh satu kampung. Ramli di bawa dengan ambulance ke hospital. Di hospital, Ramli tidak sendirian. Dia bertemankan angota polis yang mengawal di pintu wad dia berada.

Kak Yah pula di balai polis hampir ke subuh untuk memberi kenyataan bertulis sambil menjawap soalan-soalan siasatan tentang kesnya itu. Di wajahnya terbayang ibu di rumah dan kelapan-lapan orang anaknya itu. Sesal di hati tak terkira. Andainya dia mendengar nasihat ibunya dulu alangkah bagusnya, fikir Kak Yah.

Syukurlah Ramli cuma cedera parah. Namun bagaimana dengan esok. Bagaimana dia harus meneruskan hidup selepas ini semua berlaku. Akan adakah lagi orang yang akan ke gerainya nanti.

Ronggengnya telah berdarah. Ibarat kain yang sudah di penuhi darah, terus di buang orang, kini Kak Yah sudah bertutup litup. Kak Yah membuka gerai di tepi jalan berhampiran dengan rumahnya. Bekalan untuk jualan harian dihantar setiap hari oleh Pak Hasan yang berjual sayur di sekeliling kampung. Ramli pula sudah berpindah entah ke mana membawa anak isterinya.

Semuanya tidak seperti yang disangkanya dulu. Rezekinya tetap mencurah biar pun tanpa seksi dan ronggengnya dulu. Kak Yah benar-benar insaf dan sedar kini. Di pohon rezeki dari Tuhan yang Maha Pemurah, caranya mestilah dengan jalan yang diredhai oleh Tuhan juga. Kak Yah juga sedar kini teori yang tidak berlandaskan kehendak agama akan mengundang bencana. Dari mata turun ke hati, andai hati sudah nekad, macam-macam boleh jadi.

Kak Yah benar-benar mengerti kini, kenapa Tuhan memerintahkan lelaki menundukkan pandangannya terhadap wanita dan kenapa pula wanita mesti menjaga kehormatan dirinya.

Insan oleh Jay Jay

0 comments

Labels