Rumah Pasung Bukit Kepong di serang. Kenapa ?

Rumah pasung Bukit Kepong yang menjadi pilihan pihak komunis untuk diserang sedangkan masih ada lagi balai polis yang lebih menyerlah kedudukannya seperti balai polis di Muar atau lain-lain kawasan yang berketrampilan statusnya di waktu itu. Kenapa ?

Ini cerita dari mulut ke mulut. Mulut orang-orang kampung yang hidup dari daerah yang sama di mana kesah Bukit Kepong dan Mat Indera meniti takdirnya. Cerita orang kampung yang biasanya tiada berbukti, namun ingatan mereka tentunya tidak pula berbohong melainkan cerita yang mereka dengar itu sendirinya bohong.

Ikut ceritanya Mat Indera tidak sendirian kesahnya di waktu itu. Ada Margono, Wahab dan Wahid. Sebetulnya ada tiga orang lagi. Namun yang bercerita samar-samar tentang nama dua dari mereka. Seorang lagi masih dalam ingatan, akan di ceritakan kemudian.

Mereka semuanya handal-handal belaka dan memiliki kehebatan masing-masing yang tersendiri.

Sebaik sahaja jepun menyerah diri, komunis terus menguasai keadaan waktu itu. Hidup di zaman jepun bukan lah mudah. Ubi kayu makanan seharian kebanyakan melayu waktu itu. Tentunya terfikir kita betapa susahnya hidup waktu itu, jika ubi kayu menjadi makanan utama orang melayu.

Komunis pula mencari dari golongan orang melayu yang handal belaka untuk menjadi wakil mereka bagi memunggut hasil dan juga membekal makanan kepada mereka. Maka Mat indera, Margono, Wahab, Wahid dan yang lain-lainnya telah dipilih oleh pihak komunis.

Berbagai cerita yang pernah kita baca dan dengar dalam menyusuri kesah duka waktu silam ini. Orang kampung pula dalam cerita ringkasnya itu menyatakan Mat Indera pernah di tangkap oleh seorang Sarjan kerana Mat Indera menjadi pembekal beras kepada pihak komunis waktu itu. Sebagai hukuman, akhirnya dia di penjara. Sewaktu di dalam penjara, sarjan yang menangkapnya itu telah pun berpindah ke rumah pasung di Bukit Kepong. Cuma sedikit kekeliruan timbul kerana Sarjan tersebut di panggil orang setempat sebagai Sarjan Dolah sedangkan dari buku sejarah nama ketua rumah pasung di Bukit kepong sewaktu serangan komunis ialah Sarjan Jamil. Namun begitu peristiwa Mat Indera ditangkap polis kerana membekalkan beras pada pihak komunis benar berlaku.

Ikut cerita orang kampung, Margono menemui ajal apabila bayang-bayangnya di tembak manakala Wahid pula sewaktu bersalaman untuk meninggalkan majlis kenduri. Sebaik sahaja bersalaman dengan seorang Wak ( gelaran yang di gunakan oleh orang melayu keturunan jawa), wak itu terus tidak melepaskan gengaman tangan hingga membawa kepada penangkapan Wahid.


Berbalik kepada Mat Indera, keluar sahaja dari penjara di dapatinya Sarjan yang menangkapnya dulu telah bertukar kerja di kawasan lain. Mnegikut sejarah, Mat Indera lah orangnnya yang memberi arahan akan serangan ke atas rumah pasung atau pondok polis di Bukit Kepong di mana polis yang mengetuai penangkapannya itu bertugas. Wallahu'alam.

Benarkah Mat Indera tidak membunuh orang melayu ?

Orang kampung meneruskan ceritanya... Benar ! Kenapa ? Menurut orang kampung, ramai orang mengagak ini disebabkan ilmu kebatinan yang dimiliki oleh Mat Indera. Dia yang merupakan seorang guru agama diagakkan tentunya memiliki ilmu kebatinan menurut lunas-lunas yang di benarkan agama. Di agakkan besar kemungkinan syarat ilmu yang di milikinya mengharamkan dia dari membunuh orang Islam. Andai dia membunuh orang Islam atau melayu, dijangkakan awal-awal lagi kemungkinan dia tumpas.

Mengikut cerita Mat Indera memiliki kebolehan menghilangkan diri. Ada cerita dari angota keselamatan di waktu itu, Mat Indera hilang dari pandangan sewaktu di tembak menembak berlaku, kelihatan cuma burung yang berterbangan. Pernah di ceritakan, bag galasnya putus terkena tembakan namun dia hilang begitu sahaja. Tepat sekali pilihan pihak komunis mencari orang melayu yang punya kelebihan tersendiri untuk membantu mereka menangani orang melayu lainnya. Bak kata pepatah, musnah kayu dek kayu. Kapak besi di waktu dulu berhulukan kayu mencantas dahan kayu yang lainnya sewaktu di hayun. Tanpa tangkai kayu, tentu kapak tak menang dek kayu.

Tersohorlah cerita mat Indera pernah melepaskan anggota polis yang berjaya di tawan. Sewaktu pembunuhan orang melayu oleh komunis, Mat Indera menyerahkan tugas itu kepada komunis keturunan cina, begitu juga sewaktu berlakunya serangan ke atas Bukit Kepong, Mat Indera hanya bersuara tanpa melepaskan apa-apa tembakan. Benar, kata orang kampung, Mat Indera tak boleh bunuh melayu (orang Islam).

Kenapa sebagai Guru Agama boleh pula terjebak dengan komunis ?

Banyak teorinya kata orang kampung. Antara yang munasabah, kesukaran hidup di waktu itu. Hidup di zaman jepun adalah igauan bagi yang pernah melaluinya. Bukankah sememangnya ada dinyatakan dalam ugama, kemiskinan boleh membawa kepada kekufuran (tidak pula berniat untuk menyatakan Mat Indera seorang yang kufur, itu urusannya dengan Tuhan).

Lagi pun apa peliknya, tentu kita pernah mendengar kisah Barsisa seorang alim dengan si putih, iblis yang akhirnya berjaya menjahanamkan iman Barsisa yang berpuluh tahun lamanya beribadat kepada Tuhan yang satu.

Kejahatan dan kehinaan Komunis terhadap orang melayu waktu itu.

Walau pun cuma berkuasa dalam belasan hari sahaja, komunis telah membunuh ramai orang melayu. Mereka menyembelih babi di masjid. Ikut cerita orang kampung, sebaik sahaja berkuasa, ramai penghulu di tangkap dan di bunuh. Malah ada cerita gadis melayu di rogol di hadapan keluarganya. 

Harapan terhadap Arwah Mat Indera dan ahli komunis melayu yang lain.

Semoga Allah mengampuni dosa mereka jika ada, begitu juga buat kita semua.

Menuduh ahli komunis melayu hingga kepada melepaskan pegangan Islam itu sesuatu yang juga tidak patut dilakukan, malah boleh di kira sebagai memfitnah mereka. Mereka masih seorang muslim yang seperti orang melayu lainnya. Hanya perjuangan menentang penjajah sahaja yang mengikuti cara komunis.

Semoga roh mereka semua dicucuri rahmat. Setiap manusia ada salah silapnya, kita pun begitu jua. Tiada niat untuk merendahkan ahli komunis melayu yang telah pun tiada. Ikut betulnya, orang yang sudah pergi, jangan lagi di buka cerita buruk tentangnya.

Akhirnya, walau pun benar mereka menyertai komunis untuk menentang jepun dan boleh dikatakan berjuang untuk kemerdekaan, namun fahaman komunis itu sendiri bukanlah sesuatu yang boleh kita terima, apatah lagi sejarah telah membuktikan komunis telah bermaharajalela dan melakukan pembunuhan ke atas orang awam sewenang-wenangnya .

0 comments

Labels