Arina sedaya upaya cuba mencapai telepon bimbitnya. Sudah puas dia berusaha, namun tubuhnya yang semakin lemah membuatkan tangan dan jari Arina terketar-ketar sewaktu mencuba untuk mencapai telepon bimbitnya itu. Debaran di dada Arina semakin kuat. Pilu dan sayu pula memenuhi setiap ruang hatinya.

Arina bersandar semula di tempat duduk kereta. Tubuh Arina  terasa semakin lemah hingga untuk mengerakkan jari pun hampir tidak terdaya kini. Arina tidak mahu semuanya berakhir dalam keadaan begini. Dia sangat sayangkan suami dan anak-anak.

Arina seperti dapat merasakan hidupnya akan berakhir sebentar lagi. Oh Tuhan ku tolonglah hamba mu ini, berikan aku kekuatan sekali ini. Arina berdoa dengan penuh harapan. Dia mesti mendapatkan telepon bimbitnya yang jatuh ke lantai di sebelah tempat duduk pemandu.

Puas sudah Arina menguja namun masih tidak dapat mengerakkan kakinya yang kini terasa semakin kebas. Mungkin patah, Arina tidak pasti. Percikan darah dilihatnya di cermin hadapan kereta yang merebeh. Sebahagiannya lagi berlubang ditembusi dahan pokok. Di luar yang kelihatan cuma pohonan kayu mengelilingi kereta Arina.

Nada dering telepon bimbit Arina masih tak henti berbunyi tanda sms yang masuk tak berhenti-henti.
Arina semakin tidak terdaya kini. Airmatanya mengalir deras menuruni pipi bercambur dengan darah yang mengalir dari kepalanya. Terlalu pilu hati Arina mengenangkan tentang perasaan suami dan anak-anaknya nanti.

Arina benar-benar menyesal kini. Dia hanya suka-suka namun tentu orang yang disayangi dan menyayangi dirinya tidak dapat menerima kenyataan setelah terbaca segala sms di telepon bimbit Arina itu nanti. Itu yang amat menakutkan diri Arina saat ini.

Maafkan Arina bang, tiada orang lain di hati Arina melainkan abang. Dalam sayu dan pilu, terketar-ketar bibir Arina menyatakan isi hatinya yang sebenar, melahirkan keyakinannya pada cinta dan kasih yang tidak berbelah bagi terhadap suaminya. Alangkah baik jika Salim suaminya dapat mendengar luahan hatinya itu, fikir Arina. Maafkan Arina bang… Airmata pilu mengiringi setiap patah kata yang Arina ucapkan itu.

Sesal tak terhingga namun apakan dayanya kini yang kehilangan terlalu banyak darah. Kenapalah aku layan sms dia selama ni, kenapa ! Arina masih ingat pertama kali dia menghantar sms selepas sekian lama melayan "chatting" di facebook.

Bermula dengan berborak-borak di facebook sebagai kawan lama yang dikenali sewaktu di alam persekolahan, akhirnya mereka beralih ke telefon bimbit. Setelah sekian lama bermesra dan bercerita di facebook, tidak disangka-sangka kawan sekolah Arina itu mula melahirkan kata-kata rindu dan sayang. Arina agak teruja dengan manis kata-kata yang diucapkan oleh kawannya itu. Walau pun tidak pernah bersua muka sejak meninggalkan bangku sekolah namun kemesraan hubungan makin terasa sejak berhubungan semula di facebook.

Sms di antara Arina dan kawan lelakinya itu tidak putus-putus. Saban waktu telepon bimbit Arina sentiasa di sisi takut terbaca oleh suaminya akan sms yang sentiasa keluar masuk itu.

Walaupun sudah banyak kali diajak bertemu namun Arina masih belum sanggup lagi untuk mengkhianati suaminya. Dia hanya suka-suka melayan perasaan temannya itu. Ada masanya dia tergelak sendirian bila membacanya sms kawannya yang memujuk rayu dan memuji dirinya.

Keseronokan itu kini telah bertukar menjadi mimpi yang amat mengerikan buat Arina. Arina tidak dapat membayangkan apakah yang akan difikirkan oleh suaminya jika membaca sms-sms itu nanti. Tolonglah..Arina sekali lagi cuba mengerakkan tangannya namun segalanya hampa.. Kakinya mula terasa sejuk.. Arina dapat merasakan tubuhnya kini makin kaku.

Dalam deraian airmata, Arina mula mengucapkan kalimah syahadah. Air matanya mengalir berjurai-jurai. Arina kini pasti semuanya akan berakhir sebentar lagi. Maafkan Arina bang ...

Salim duduk termenung di tingkap bilik tidurnya. Anak-anaknya yang tiga orang itu sudah tidur. Salim masih memegang telepon bimbit isterinya Arina. Kenapa Arina kamu buat abang macam ni. Salim sedih dengan kehilangan isterinya yang meninggal dalam kemalangan kereta itu. Namun amat menyedihkan lagi bila dia membaca kata-kata isterinya dari sms yang terdapat di dalam telepon bimbitnya itu. Sedih, marah dan pilu silih berganti mengharungi hati Salim menjadikan dirinya tidak keruan kini. Salim benar-benar merasakan dirinya dikhianati.

Bila ingatkan Arina yang meninggal akibat kemalangan kereta, Salim sungguh sedih. Kereta Arina merempuh penghadang jalan dan terjun ke jurang bukit. Tiada bukti berlaku pelanggaran. Mengikut polis, kereta Arina terbabas lalu merempuh penghadang jalan. Mungkin dia tertidur akibat terlalu mengantuk memandangkan tiada kesan membrek di atas jalan.

Amat menyedihkan lagi bila dilihat anak-anaknya yang kerinduan ibu mereka. Hampir dua minggu sudah sejak kepergian Arina namun anak-anaknya masih tersedu-sedu menangis setiap kali tersedar dari tidur. Salim tahu, anak-anaknya yang masih kecil itu rindukan ibu mereka.

Namun di saat dan ketika tertentu Salim kesal dan terluka dengan apa yang Arina telah lakukan pada dirinya. Salim amat tidak menyangka yang Arina sanggup menduakannya. Tak terfikir oleh Salim bagaimana Arina sanggup berselingkuh sedangkan dirinya melayan Arina dengan sepenuh hati dan kasih selama mereka hidup berumahtanga.

Hingga sebentar tadi lelaki yang tidak dikenalinya itu masih setia menghantar sms kepada Arina. Mengharap Arina berterus-terang akan kesalahannya hingga Arina tiba-tiba menyepi. Dia bertanya adakah Arina tidak sayang padanya lagi.

Hati Salim terguris dan terluka bila teringatkan kata-kata Arina dalam smsnya kepada lelaki itu. Sayang dan rindu tidak lekang dari setiap sms Arina kepada lelaki itu.

Setiap kali Salim hendak melangkah untuk pergi menziarahi kubur isterinya, setiap kali itulah hatinya seperti amat berat untuk pergi. Untuk apa dia pergi menziarahi orang yang tidak menyayangi dirinya, malah mengkhianati dirinya pula.

Kalau tidak kerana anak-anak, hampir pasti Salim tidak akan mengunjungi pusara Arina. Bukan kerana benci, tapi pengkhianatan Arina itu tidak dapat diterimanya. Terasa sia-sia hidupnya bersama Arina selama ini. Salim benar-benar seperti bermimpi, dia amat tidak menyangka dalam kelembutan dan kebaikan Arina terhadapnya selama ini, rupanya di dalam hati Arina ada orang lain.

Sayang seribu kali sayang, kenapa isteri kesayangannya itu sanggup menghianati kasih dan sayangnya. Kenapalah bodoh sangat Arina sampai sanggup buat dirinya begini, fikir Salim.

Salim duduk memeluk lututnya membelakangkan dinding tingkap. Salim terisak-isak menanggis melepaskan sebak di dadanya. Menitik air mata lelaki itu membasahi hamparan di kamar seribu kenangan itu. Dadanya terasa milu pedih bagai disusuk selumbar. Sesekali Salim menarik nafas panjang, cuba menenangkan hatinya yang sebak itu. Di sapunya airmata yang membasahi pipi dengan bahagian belakang tangannya.

Tiba-tiba telepon bimbit Arina berdering. Hai Rina, buat apa tu, maaf la, tau you tak suka I call ni, tapi rindu sangatlah, kenapa you diam je.. suara lelaki yang sedang merayu itu buat hati Salim bertambah sebak.

Kenapa kau khianati aku Arina !!…tiba-tiba Salim menjerit bagaikan orang hilang akal.

Shiit !! Dibalingnya telepon bimbit Arina ke dinding jatuh bertarai ke lantai. Bodoh ! bodoh ! Apalah bodoh sangat kau Arina !! jeritan Salim memecah kesunyian malam.

Air mata hampa dan kecewanya itu terus menitis di lantai. Salim masih tersedu-sedu menahan sebak sambil memeluk lututnya. 


Di hati sebilah pisau  sedang ditusuk-tusuk dan ianya amat memilukan.  

Seribu kali sayang oleh Saleem

0 comments

Labels