Kekasih

Akan kupintal buih-buih
menjadi tali
mengikatmu
akan kuanyam gelombang-gelombang
menjadi hamparan
ranjang tidurmu

akan kutenun awan-gemawan

menjadi selendang
menudungi rambutmu

akan kujahit bayu gunung

menjadi baju
pakaian malammu

akan kupetik bintang timur

menjadi kerongsang
menyinari dadamu

akan kujolok bulan gerhana

menjadi lampu
menyuluhi rindu

akan kurebahkan matari

menjadi laut malammu
menghirup sakar madumu

Kekasih, hitunglah mimpi

yang membunuh realiti
dengan syurga ilusi.

~Usman Awang

dilagukan oleh Kopratasa


1 comments

  1. Cheqna // March 21, 2012 at 10:40 PM  

    Sedap lagu ni, saya dengar sampai habis baru komen..hehe.. :-)

Labels