Hang Tuah, Puteri Gunung Ledang dan kesah peminangan banyak cerita dan versinya. Ada cerita yang bertulis dan ada juga cerita dari mulut ke mulut bersambung dari generasi ke generasi. Sejauh mana kebenarannya wallahu'alam. Apa pun ianya tetap cerita yang harus untuk kita percaya dan harus untuk kita tidak mempercayainya.

Ini kesah yang ku dengar sendiri dari perbualan orang lama.

Kesah ini diceritakan berlaku sewaktu Hang Tuah dan Tun Mamat diutuskan oleh sultan Melaka ke Gunung Ledang untuk membawa rombongan meminang Puteri Gunung Ledang.

Dalam perjalanan dari negara Melaka melalui negera Johor untuk ke Gunung Ledang, kedua-dua pembesar negara Melaka ini berfikir bagaimana mereka harus mencapaikan hajat sultan yang hampir mustahil itu, iaitu meminang puteri yang kalau benar pun ujud ianya cuma di alam ghaib. Sesuatu yang melanggar adat hidup manusia biasa untuk mendapatkannya.

Setelah separuh pendakian ke Gunung Ledang, Hang Tuah yang sudah berumur begitu kepenatan dan mengarahkan Tun Mamat memerintahkan rombongan berhenti rehat. Tun Mamat pula yang masih muda dan gagah diarahkan oleh Dato' Hang Tuah meneruskan perjalanan bagi tujuan meninjau laluan yang bakal ditempuhi.


Pemandangan Gunung Ledang dari Estate Termil, Sagil - Photo dari flexipedia.blogspot.com

Selepas beberapa ketika, kembalilah Tun Mamat ke tempat Hang Tuah dan rombongan berehat. Lalu dikhabarkannya akan kepayahan dan tentang mustahilnya perintah sultan tersebut untuk mereka penuhi.

Lalu kedua pembesar negara Melaka ini mencari akal untuk dipersembahkan pada sultan agar tugas selesai dan sultan tidak murka. Sewaktu berbincang mencari akal, keduanya duduk di atas sepohon pokok yang dahan besar besarnya meliuk hampir mencecah tanah. Sambil mencari ilham dan bertukar-tukar pandangan, kedua-duanya menikam-nikam dahan kayu itu atau mencucuk-cucuknya dengan keris masing-masing. Maka berlubang-lubanglah dahan kayu itu.

Akhirnya dapatlah mereka ilham agar sultan mempercayai yang mereka telah pun berjumpa dengan Puteri Gunung Ledang di saat yang sama alasan untuk sultan memberhentikan niat karutnya itu. Dahan kayu tersebut pula berlubang-lubang akibat cucukan atau tusukan keris mereka di saat memerah otak mencari akal.

Sampai masa untuk pulang dengan cereta rekaan kedua pembesar Melaka itu, Tun Mamat meminta kebenaran Hang Tuah untuk terus mendaki dan berada di puncak Gunung Ledang untuk beberapa waktu. maka pulanglah rombongan itu tanpa Tun Mamat.

Mengikut cerita, semangkok darah putera sultan adalah rekaan kedua mereka agar sultan membatalkan hajat karutnya itu, manalah tahu, mampu pula sultan menyediakan hati nyamuk.

Tun mamat pula di percayai benar-benar telah berjumpa dengan Puteri Gunung Ledang tetapi merahsiakan dari pengetahuan Hang Tuah. hatinya telah berkenan dan dia meneruskan pendakian sendirian untuk bertemu puteri yang telah menawan hatinya itu. Ada yang menyatakan, Selepas berkahwin dengan Puteri Gunung Ledang, Tun Mamat menjadi raja Gunung Ledang dan memerintah di alam bunian.di gunung itu.

Dahan pohon yang meliuk ke tanah dan berlubang-lubang itu di panggil orang pohon tipu kerana setiap kali lubang-lubang di dahan itu dikira jawapannya tidak sama biarpun dikira serentak oleh dua tiga orang. Menurut cerita orang, sehingga awal 80 an kayu itu masih ada lagi, namun kini telah reput dimamah usia.


Laluan Hang Tuah dan Tun Mamat dikatakan antaranya di hadapan sekolah berhampiran Pekan Tangkak yang dinamakan Sekolah Menengah Tun Mamat.

*gambar sekadar hiasan

1 comments

  1. Richa Rie // November 10, 2009 at 12:04 PM  

    heya..i want follow your GFC but its seem not show up..error?

Labels