Pada diri setiap insan tentulah ada seseorang yang istimewa bersemadi di dalam hatinya.

Bagi seorang anak, tentulah ibu dan bapa insan yang istimewa di dalam hidupnya. Bagi yang sedang bercinta pula, he he tentulah kekasihnya itu yang teristimewa dari segala wanita bukan muhrim yang dikenalinya. Di dalam berkawan juga terdapat insan yang istimewa dan mungkin inilah yang disebut orang sebagai sahabat.

Aneh tapi benar. Benar kerana ianya selalu berlaku dalam kehidupan manusia. Insan yang istimewa itu selalu diabaikan, dibuat endah tak endah, dilawan cakap nya. Ada yang tidak jujur malah tidak ikhlas pada insan yang dianggapnya istimewa itu. Anehnya pula kerana bagaimana insan yang istimewa itu boleh diperlakukan sedemikian rupa sedangkan dia begitu istimewa di hati orang yang menyayangi dirinya itu.

Di saat perginya ibu dan ayah, sekelian anak-anak bertangis-tangisan, berhiba lara merembeskan airmata. Di saat itu, terasa betapa kehadiran ibu dan bapa amat bermakna dalam hidup ini. Namun begitu,ramai juga di saat hidup ibu dan bapa, dilawan cakapnya, ada yang tidak mahu menjaga ibu dan bapa yang mungkin sudah uzur dan kerap sakit-sakit, apatah lagi yang sudah nyanyuk. Ada yang menghantar ibu bapa ke rumah orang-orang tua, begitulah daifnya perasaan seorang yang dibangga-banggakan, yang di sayangi dengan seluruh jiwa raga oleh manusia yang bergelar ibu dan bapa. Bila ibu dan bapa telah tiada barulah menanggis, mengalirkan airmata yang tentunya tiada bermakna lagi.

Begitulah resamnya hidup, istimewa terasa di hati hanya apabila yang istimewa itu sudah tiada di sisi. Begitulah juga dalam hal bersuami isteri dan berkawan. Setelah berpisah atau sahabat merajuk membawa diri, baru lah terasa kehilangan sahabat atau pun suami maupun isteri.

Bila sudah tiada, barulah terkenang-kenang akan kebaikan dan layanan yang diberi semasa hidupnya. Bilamana terbit mentari, resah mengharap kehadiran insan yang begitu istimewa di hati, tapi sayangnya sudah tiada di sisi.

Inilah kehidupan bagi yang tidak mahu beringat atau yang hanyut dan leka dengan dunia dan dirinya sendiri.

Justeru itu, sayangilah apa yang ada. Hargailah biarpun wajahnya tak selawa mana. Tanpa kasih sayang, tiadalah keluarga. Tanpa rindu, sayang tak ke mana. Walaupun berjauhan, jengah-jengahlah bila berkesempatan.

Kau yang istimewa sememangnya istimewa andai kita benar benar mengasihi dan mengambil berat tentang dirinya.



To' Ki - Sari Maya (Kau Yang Istimewa)

0 comments

Labels