Dirinya meniti takdir. Ku kenal dia belasan tahun yang lalu sewaktu dia masih anak muda remaja.

Ku lihat dia berjalan terkeseng-keseng di lorong itu. Di tangan mencebit beg plastik yang entah apa isi di dalamnya. Sewaktu ku hampir melintasinya, dia berpaling tersenyum. Kemudian dia tersengeh-senggeh. Aku seperti mengerti apa isi hatinya di saat itu.

Mari saya hantarkan awak pulang. Dia masih tersenggeh-senggeh sewaktu menghampiri kenderaanku dan terus tersenggeh-senggeh hinggalah sampai di halaman rumahnya.

Terima kasih bang, terima kasih bang, ucapan terima kasih diucapkannya berkali-kali buat aku sayu. Abang kawan saya ye, saya tak da kawan. Di saat itu tidak dapat ku tahan lagi, berlenanglah air mata membasahi persada hatiku. Seraut ketulusan dan kerendahan hati tersirna di wajahnya benar-benar buat hatiku tersentuh.

Sejak itu dia akan terpaling-paling setiap kali kedengaran bunyi kenderaan dari arah belakangnya sewaktu melalui lorong itu. Setiap kali juga aku berhenti, senyum lebar pasti menghiasi wajah dan aku senang sekali melihatnya.

Semalam dia masih sendirian berjalan terkeseng-keseng. Sepotong kueh dihulurkan sebaik sahaja memasuki kenderaan ku. Sewaktu memandu, sesekali aku menjeling ke arahnya. Terfikir oleh ku lama sudah rupanya masa berlalu sejak kali pertama dia ku hantar pulang. Usianya wajar untuk dia beranak pinak dan memiliki penghidupan yang lebih baik dari yang pernah ku lihat di waktu yang lalu. Namun dia masih seperti dulu. Pakaiannya masih kemas, senyuman di selangi dengan senggeh yang panjang masih jelas tetap menghiasi wajahnya.

Entah berapa kali hatiku tersentuh melihat insan ini, rela dan redha meniti takdir Tuhan untuk dirinya. Hidup masih sendirian biarpun lelaki lain dalam kesibukan menghantar anak ke sekolah. Lelaki lain berkereta bersama anak isteri riang dan gembira pulang dari pasaraya. Kawan ku ini, masih terkeseng-keseng membawa diri, sendiri melalui lorong itu.

Kumisnya juga sudah ada yang putih dimakan usia, namun semuanya masih kemas dan teratur.

Aku insaf, aku bersyukur bertemu dengannya. Terima kasih kawan biar pun aku tidak pernah mengistiharkan diri sebagai kawan secara lisan, namun kau selalu melintasi benak fikirku setiap kali aku resah menghadapi liku hidup ini.

Kau buat aku insaf agar menerima apa yang ada sebagai terbaik untuk ku kerana kau yang tidak punya apa di mata insan lain, masih bisa tersenyum dan buat hati ku damai setiap kali melihat mu. Kehadiran mu buat aku insaf dan sedar akan erti rela dan redha dengan takdir Tuhan.

Akal mu mungkin kurang tapi aku tahu kau insan tanpa dosa lebih mulia dari aku yang meniti hidup berbaur dosa dan pahala.

Kawan, sesungguhnya kau insan istimewa, ibarat sekuntum bunga mengharum di hati dan sering hadir di dalam doaku.

Kau Yang Tersendiri oleh Jay Jay

1 comments

  1. Cheqna // February 17, 2011 at 6:53 PM  

    As salam Rad,

    Semoga kita sentiasa bersyukur dengan apa yang Allah SWT kurniakan kepada kita, yang melebihi daripada orang lain..

    dan menjadikan iktibar semasa melihat kekurangan kepada makhluk Allah yang lain.

Labels