Ketikanya dulu, tertiarap ke lantai dunia diteran ibu. Berseri wajah bapa di luar menunggu. Mata terpejam di susu ibu, dalam pelukan kasih yang syahdu.

Ketikanya dulu, riang bermain adik beradik gembira. Sesekali marah, sesekali bergaduh dan ketawa semula. Bila malam tiba tidur bersama, bertarik selimut bantal tah ke mana. Di sejuk subuh merekot udang memeluk dingin. Di lantai papan bumbungnya zink, berhimpit-himpit harapkan hangat penghilang dingin.


Ketikanya dulu, berjalan kaki ke sekolah bersama. Pulang petang berlari berlumba. Harapan besar nanti jadi insan berguna, itu lah doa ibu dan bapa.

Ketikanya dulu, hati melonjak impian dah tiba. Berjaya menyambung pelajaran, selepas penat tanpa lelahnya. Berusaha mencapai cita-cita, akhirnya dimakbulkan Tuhan jua.

Ketikanya dulu, pandang pertama hati dah suka. Asyik nak jumpa tak kira masa, di persada rindu melayan cinta. Konon dah kerja nak hidup bersama.

Ketika ini di saat ini, memori menerawang, melintasi mata menyapa rasa. Gambarnya jelas wajahnya sayu, seperti baru semalam semuanya berlalu.

Ketika ini di saat ini, tersenyum sendiri melihat masa lalu. Sayu la pula mengenangkan waktu , lama sungguh rupanya berlalu.

Andai boleh diulang semula, ingin berbaring di pangkuan ibu. Menghisap susu merenung wajah kasihnya.

Andai masa dulu datang semula, dipelukkan bapa terusan merayu, ingin lena dalam dakapnya.

Ketika ini terasa indahnya hidup di waktu yang dulu,  meniti takdir dalam tawakal pada yang Satu.

Cuma masa lalu mustahil kembali semula, ini memang lumrah dunia.

Semoga beringat mereka yang masih punya masa. Jangan dipersiakan hidup yang indah ini. Datangnya cuma sekali, perginya tidak berganti.

0 comments

Labels