Mak dah makan ? Saya bertanya setiap kali pulang dari kerja. Mak ada ingat nak pergi mana-mana tak ? cakaplah, saya bawa mak. Mak, cantik tak kain saya beli ni, saya bertanya setiap kali saya pulang dari membeli belah. Ini saya belikan untuk mak, mak suka tak warnanya ? Tentu mak akan berkata cantik sambil tersenyum.

Kalau saya bersedih, tentu mak risau dan bertanya kenapa saya bersedih. Andai saya gembira pasti saya ceritakan pada mak tentang kegembiraan saya itu.

Kalau saya demam, mak yang saya cari, berbaring di pangkuan mak, nyaman sekali. Terasa damainya suasana dan tentu tenangnya hati saya. Bila demam, mak usap-usap kepala saya, tentunya akan terasa lega sikit demam saya itu. Paling tidak perasaan akan terasa lega dan lapang di dada.

Walaupun saya sudah dewasa dan telah bekerja, saya tak segan dan malu kalau mak cium saya di depan orang lain. Saya suka cium tangan mak, lepas tu saya cium pipi dan dahinya setiap kali hendak keluar dari rumah.

Di tempat kerja, bila matahari agak sudah meninggi hari, saya pasti telepon mak di rumah bertanyakan apa mak tengah buat masa tu.

Saya tentunya berdoa agar bila berumahtangga nanti, pasangan hidup saya juga turut sayangkan mak saya. Saya amat berharap agar kami sama-sama menyayangi mak dan ayah kami. Itulah impian saya.

Namun itu cuma dapat saya laksanakan dalam impian dan angan-angan sahaja. Angan-angan yang tak mungkin dapat saya kotakan.Setiap kali mendengar cerita kawan-kawan tentang ibu mereka, saya cuba membayangkan suasana itu. Alangkah indahnya hidup saya, jika ada mak di sisi.

Malangnya saya tidak pernah dapat menatap wajah mak. Bagaimana agaknya wajah mak saya tu. Mak cik saya kata, ada iras rupa saya. Wajah ayah juga tak pernah saya lihat. Saya yatim piatu. Sebatang kara berkelana di muka bumi Tuhan ini.

Setiap malam sebelum tidur, saya pasti membelek-belek baju mak saya. Saya sering menciumnya. Terubat sikit rindu saya pada mak. Inilah satu-satunya tanda kenangan yang saya ada dari mak. Mak yang pesan pada makcik untuk diserahkan pakaiannya ini kepada saya sebelum mak pergi untuk selamanya. Cuma sayangnya tiada tanda kenangan dari ayah.

Di saat ayah gembira menyambut kelahiran saya, mak pergi meninggalkan kesedihan buat ayah. Saya pula hanya baru beberapa hari dilahirkan ke dunia telah kehilangan kasih ibu. Menurut makcik, saya sempat menyusukan susu ibu.Ini benar-benar buat saya rasa bangga dan bahagia.

Macam mana agaknya saya menyusukan susu badan dari ibu masa tu ek. Kalaulah semua itu tidak padam dari ingatan saya alangkah bagusnya.

Tak lama kemudian ayah pula pergi. Tinggallah saya sendirian di muka bumi ini. Sendirian tanpa kenal wajah ayah dan ibu amat memilukan. Terasa seperti terasing di bumi ini. Setiap kali syawal tiba, rasa terasing itu makin mencengkam. Saya tiada tempat untuk pulang. Di asrama anak yatim saya berhariraya setiap kali syawal tiba.

Makcik ada datang menjenggah, namum kedaifan hidup dengan anak yang ramai menghalang makcik memenuhi harapan ibu saya untuk membesarkan saya.

Saya hidup dengan berbekalkan kasih sayang mak dan ayah dari baju yang mak tinggalkan untuk saya ni, dan juga dari cerita makcik tentang ibu saya. Cuma itu yang saya ada.

Kubur mak sering saya ziarahi. Makin kerap bila saya sudah bekerja. Kini saya masih tinggal di rumah anak yatim. Saya pilih untuk tinggal di sini agar saya dapat memberi kasih sayang kepada anak-anak yang senasib dengan saya.

Setiap kali saya lihat mereka tersedu-sedu merindui ibu mereka, dapat saya bayangkan begitulah agaknya sewaktu saya kecil dulu bila rindukan mak dan ayah saya.

Telah dua puluh lima tahun masa berlalu sejak mak pergi. Terasa seperti semalam semuanya berlalu setiap kali saya melihat baju mak.

Sebak di hati siapa yang tahu. Hanya yang tak beribu dan berayah yang mengerti perasaannya. Saya sentiasa berdoa semoga mak dan ayah berbahagia di sana.

Saya ingin menyusul mereka cuma masanya belum sampai buat saya. Hanya Tuhan yang tahu bila. Selagi saya hidup, saya akan berusaha untuk menjadi anak yang baik dan insan yang berguna. Semoga saya menjadi anak yang soleh, mudah-mudahan setiap doa saya untuk mak dan ayah diterima Tuhan.


- posting kali kedua Sempena hari Ibu

1 comments

  1. Hati Curio // May 10, 2011 at 4:52 AM  

    Selamat hari Mak

Labels